| Universiti Putra Malaysia

Inovasi DADD elak pemandu terlelap ketika memandu

Oleh Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi Driver’s Anti-Drowsy Device (DADD) berupa teknologi boleh pakai (wearable technology) yang diserapkan dalam vest atau jaket untuk membantu pemandu daripada terlelap semasa memandu.

Melalui teknologi yang diserapkan ke dalam vest itu, ‘mini vibration motor’ yang terdapat di bahagian dalam vest akan menghasilkan ‘haptic feedback’ yang merupakan isyarat dalam bentuk getaran, jika ia mengesan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk.

DADD dijalinkan melalui integrasi dengan telefon pintar (smart phone) dan sebuah kamera khas yang ditempatkan di atas papan pemuka kenderaan. Kamera itu akan mengesan sekiranya pemandu mengantuk melalui perubahan fizikal mereka, seperti kadar kelipan mata, tahap anggukan kepala, menguap dan kadar degupan jantung.

Kamera yang mengesan perubahan itu akan menghantar input perubahan fizikal pemandu kepada satu komputer mikro khas di dalam vest, yang akan menghasilkan getaran berfrekuensi sederhana yang akan dirasai oleh pemandu. Setiap getaran akan berlangsung selama tiga saat dan berlaku selang dua saat.

Pensyarah kanan Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB) UPM, Dr.Rosalam Che Me berkata, jika pemandu tidak terkesan dengan getaran itu, akan terdapat isyarat dalam bentuk audio dihantar oleh komputer mikro kepada pemandu.

Isyarat audio yang akan menghasilkan bunyi bip pada fon telinga (ear plug) yang dijalin bersama dengan vest tersebut

Menurutnya, DADD itu dihasilkan melalui projek pelajar tahun akhir Rekabentuk Perindustrian FRSB, Syuhada Mohd Daud.

Dr. Rosalam berkata, vest yang direkabentuk itu juga membentuk kedudukan postur badan yang baik dan menyokong belakang badan ketika memandu, sekali gus mengurangkan rasa mengantuk.

Katanya, vest itu diperbuat daripada kulit pvc dan nylon bagi keselesaan pemandu, dan dalam bentuk ‘free size’ yang boleh disesuaikan mengikut bentuk badan seseorang.

Beliau berkata, ia masih dalam peringkat konseptual dan pihaknya sudah mendapatkan perlindungan Harta Intelek bagi DADD.

Menurutnya, antara sebab utama kemalangan jalan raya ialah memandu dalam keadaan mengantuk yang menyebabkan pemandu gagal mengambil tindakan pantas menekan brek atau mengelak daripada terbabas atau melanggar pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata, aplikasi telefon pintar (mobile apps) yang di bangun bersama DADD boleh mengesan corak pemanduan seseorang, lantas memudahkan mereka merancang pemanduan.

Katanya, DADD bukan sahaja untuk pemandu, malah boleh digunakan di pejabat untuk menyokong postur badan ketika duduk di kerusi dan mengelak daripada mengantuk, serta boleh digunakan oleh semua peringkat umur. - UPM

   

 

WXDdGAx~