| Universiti Putra Malaysia

Inovasi bakul ergonomik kurangkan sakit badan pekebun nanas

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Mozaid Idris

SERDANG: Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya merekacipta inovasi bakul nanas ergonomik yang boleh mengurangkan sakit belakang badan ketika pekebun menuai nanas, dan mengurangkan risiko kesan jangka panjang sakit ‘musculoskeletal’ membabitkan otot, tulang, saraf dan sendi.

Bakul atau lanjung nanas itu yang dibawa di belakang badan pekebun untuk memasukkan nanas yang dituai, mempunyai ciri-ciri yang dapat mewujudkan keselesaan kepada pekebun berbanding bakul rotan yang banyak digunakan sekarang.

Inovasi yang diberi nama ‘Smart Fruit Harvesting Basket’ (Sumosack) itu direkabentuk dengan taburan bebanan nanas dalam lanjung itu dibahagikan untuk ditampung mengikut bahagian dan saiz otot belakang badan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Madya Dr. Emilia Zainal Abidin berkata pihaknya membuat pengukuran secara antropometrik saiz badan 50 pekebun nanas, dan mengambil saiz purata mereka dalam menghasilkan reka bentuk bakul lanjung berdasarkan struktur belakang badan pekebun.

Katanya, bakul lanjung itu mempunyai lubang yang membolehkan ia diselaras mengikut ketinggian dan saiz badan pekebun.

“Ia dilengkapi puli boleh laras (adjustable pulley) dan tuil (lever) untuk menutup dan membuka bahagian bawah lanjung itu yang memudah dan membolehkan pekebun mengeluarkan nanas secara berdiri tanpa perlu membongkok.

“Ini amat berbeza dengan bakul rotan yang digunakan sekarang kerana pekebun perlu membongkok secara keterlaluan (excessive bending) untuk mengeluarkan buah nanas dari bakul di belakang badan. Dengan inovasi ini, kita dapat menghapuskan posisi janggal yang boleh menyebabkan sakit belakang, otot dan sendi,” katanya.

Prof. Madya Dr. Emilia yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM berkata, bakul ergonomik itu dilengkapi empat tali (strap) yang boleh dilaras (adjustable) untuk memperkemas ikatan pada bahagian belakang, bahu, dada dan pinggang pekebun.

Bakul ergonomik itu diperbuat daripada keluli tahan karat dan aluminium dengan berat kira-kira 4 kg berbanding bakul rotan yang beratnya lebih 5 kg.

Ia boleh memuatkan antara 40 dan 45 kg nanas, kurang kira-kira 30 peratus daripada kapasiti muatan bakul rotan kira-kira 70kg, sekaligus meringankan bebanan dipikul oleh pekebun.

“Kita mahu mengelakkan pekebun daripada sakit belakang termasuk kesannya pada jangka masa panjang yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan,” katanya.

Justeru, mereka menghasilkan bakul ergonoomik yang bentuk asalnya adalah ‘simple’ yang dihasilkan oleh pelajar prasiswazah pada 2017, sebelum ia ditambah baik selepas mendapat geran daripada Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) sumbangan dana SME Corp sebanyak RM130,000 pada 2018, yang disalur melalui Yayasan Inovasi Malaysia.

Selain Prof. Madya Dr. Emilia, ahli lain dalam kumpulan penyelidik itu ialah pelajar PhD Mohd Hasif Malek serta empat pelajar prasiswazah dan pasca siswazah.

Bakul ergonomik itu sudah dipaten, dan akan dibuat sedikit lagi penambahbaikan. Beliau mengalu-alukan syarikat yang mahu bekerjasama mengeluarkan bakul ergonomik itu. - UPM

SXETPAp~