| Universiti Putra Malaysia

Inovasi air sisa dan sisa separa pepejal boleh diguna semula, hasilkan gas

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG: Air daripada sisa sembelihan lembu, ayam dan air sisa basuhan darah di rumah sembelihan, serta sampel pepejal atau separa pepejal seperti najis lembu, najis babi dan najis ayam, kini boleh dirawat dan produk daripada rawatan itu digunakan semula untuk tujuan tertentu.

Kaedah rawatan Hybrid Upflow Anaerobic Sludge Blanket Reactor (UASB) yang dihasilkan melalui inovasi penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), digunakan untuk merawat sisa berbentuk cecair seperti air sisa sembelihan lembu, air sisa sembelihan ayam, dan air sisa basuhan darah di rumah sembelihan (slaughter house waste water).

Inovasi kaedah rawatan Continuous Stirred Tank Reactor (CSTR) pula adalah untuk rawatan sampel pepejal atau separa pepejal (solid and semi-solid sample) seperti sisa makanan, najis lembu, najis babi dan najis ayam.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuteraan, UPM, Prof. Madya Dr. Syazwani Idrus berkata rawatan kaedah UASB membolehkan air sisa sembelihan itu yang biasanya berwarna merah kehitaman, bertukar kepada warna jingga cair, kuning cair atau kelabu cair yang mencapai Standard B yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, sistem rawatan UASB itu juga menghasilkan gas metana yang boleh menjadi alternatif dan digunakan sebagai gas memasak, serta ditukar (convert) menjadi tenaga untuk lampu elektrik.

“Air sisa yang sudah dirawat dikeluarkan pada saluran di bahagian bawah UASB ini, manakala gas metana pula pada saluran di bahagian atas,” katanya.

Proses rawatan mengambil masa 24 jam, dan gas metana yang dihasilkan adalah sebanyak 85 peratus atau 25 liter.

Beliau mengetuai kumpulan penyelidikan itu bersama pelajar, Tuan Nur Farhana Tuan Mohd Marzuki dan Mohamed Ali Musa.

Prof. Madya Dr. Syazwani berkata, UASB juga boleh digunakan untuk rawatan sisa kumbahan dan rawatan air larut resap (leachate) iaitu air di tempat pembuangan sampah.

“Inovasi ini mempunyai filter media yang dimasukkan bagi meningkatkan populasi methanogenic. Micrrorganisme ini membolehkan rawatan dilakukan secara efektif,” katanya.

Beliau berkata air yang sudah dirawat itu boleh gunakan antaranya untuk menyiram tumbuhan dan membersihkan lantai di rumah sembelihan.

Katanya, beliau melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM mengadakan program pemindahan ilmu kaedah rawatan itu kepada penternak dan staf Jabatan Veterinar di Perak dan Pulau Pinang pada 2019.

Inovasi ini memenangi pingat gangsa pada Engineering Innovation Exhibition (EIE) UPM 2019.

Prof. Madya Dr. Syazwani berkata, inovasi CSTR pula digunakan untuk sampel pepejal dan separa pepejal seperti sisa makanan, najis lembu, babi dan ayam dengan memasukkannya ke dalam CSTR itu.

Katanya, selepas melalui proses selama 24 jam, ‘digestate’ yang terhasil daripadanya boleh digunakan sebagai baja untuk pelbagai jenis tumbuhan.

 

Menurutnya, ia turut menghasilkan gas metana sehingga 80 peratus atau 42 liter, yang jauh lebih tinggi berbanding yang dihasilkan UASB walaupun menggunakan pepejal kira-kira hanya 0.5 peratus daripada jumlah sisa cecair yang digunakan sistem UASB.

Katanya, CSTR menggunakan kaedah ‘acclimatization’ yang meningkatkan ‘organic loading rate’ dan ketahanan reaktor.

Inovasi itu dibangunkan dengan geran FRGS (KPM) pada tiga tahun yang lalu. Inovasi itu berjaya menarik  industri seperti TNB Research Sdn Bhd bagi melaksanakan kajian terperinci tentang penghasilan biogas. Prof. Madya Dr Syazwani menerima geran industri RM130,000 pada 2018/2019 dan RM 218,000 pada 2019/2020, bagi penyelidikan potensi sisa makanan dan sisa ternakan dalam penghasilan bio gas dari TNB Research Sdn Bhd.

Ia turut membabitkan penyelidik bersama Prof. Madya Dr. Mohd Razif Harun yang juga pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan. - UPM

 

SXDdFA~