| Universiti Putra Malaysia

‘Ilham-UPM Science Outreach’ dedah pelajar kepada sains dan teknologi

Oleh Thiviyah Manicam

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

                                                                           

 

SERDANG, 27 Nov – Seramai 40 pelajar tingkatan satu yang terpilih dari seluruh negara menyertai Program ‘Ilham-UPM Science Outreach 2017’ yang mendedahkan mereka kepada bidang sains dan teknologi secara pendekatan ‘hands-on’ melalui aktiviti dan eksperimen menarik yang mencabar minda mereka.

Program dua hari itu yang diadakan di sini, dianjurkan Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear (PPDN) Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Malaysia Community & Education Foundation (MCEF) dan Persatuan Transformasi Masyarakat dan Industri Melalui Pendidikan dan Penyelidikan (PERMIPP).

Pengarah PPDN, Prof. Madya Dr. Fathinul Fikri Ahmad Saad berkata, program itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada pelajar meneroka alam Sains di luar bilik darjah melalui pendedahan eksperimentasi dan memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains.   

Tiga jenis eksperimen sains modul juga dijalankan selaras dengan objektifnya memberikan pengalaman menarik kepada pelajar melakukan “hands-on-experiment” melalui aktiviti yang diadakan.  

Kuiz seperti Kahoot juga diadakan selepas setiap sesi eksperimen sains modul untuk memperkasakan pemahaman pelajar terhadap eksperimen yang dijalankan serta untuk menarik konsentrasi mereka terhadap eksperimen supaya fokus sepanjang sesi.

Timbalan Pengarah PPDN, Dr. Subapriya Suppiah berkata, pelajar yang terpilih mengikuti program itu adalah pelajar cemerlang yang mendapat A dalam kesemua matapelajaran ketika peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan daripada kalangan keluarga yang berpendapatan sederhana atau rendah.

Program itu memberi manfaat kepada kumpulan sasaran khususnya pelajar sekolah serta pelajar pra dan pasca-siswazah UPM yang turut membantu menjayakannya.

 

SXETRA~