Ibu Tunggal Redah Sungai Dua Jam Untuk Dapatkan Bacelor | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Ibu tunggal redah sungai dua jam untuk dapatkan Bacelor

Ibu tunggal redah sungai dua jam untuk dapatkan Bacelor

Oleh Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 19 Nov: “Ibu kena kuat, abang ada,” itulah kata keramat daripada Muhd Aireill Irfan anak sulung kepada graduan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia, Nurul Athirah Abdullah apabila ibunya menghadapi saat getir dan menangis ketika menghadapi kesukaran dalam penghidupan.

Nurul Athirah, ibu tunggal yang tinggal di Song, Sarawak terpaksa menaiki bot selama dua jam untuk ke pusat pembelajaran beliau yang di Sibu, Sarawak.

“Saya bersyukur walaupun anak-anak saya masih kecil di waktu itu, mereka memahami kesukaran saya dan memberi sokongan moral untuk saya terus cekal menghadapi cabaran hidup,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Lebih manis lagi, pada hari ini juga merupakan ulang tahun ke-11 anak sulung beliau.

Beliau berkata, ketika di Semester 5, kehidupannya berubah kerana penceraian dan berasa keseorangan tanpa tempat untuk merujuk permasalahan, terutama berkaitan kewangan.

“Ketika di Semester 6, saya terpaksa menangguh pengajian selama satu semester untuk mencari lagi wang bagi membayai pengajian,” katanya yang hampir berputusa asa semasa di Semester 7.

Nurul Athirah, seorang mualaf berkata namun wajah anak-anak menjadi pembakar semangatnya. 

“Ketika melihat waha anak-anak… terdetik dalam hati ‘jika saya berhenti belajar, bagaimana dengan anak-anak’ dan siapakah yang mereka hendak jadikan inspirasi,” katanya.

Beliau menambah pendapatan dengan menjual makanan seperti nasi lemak dan roti jala di sekolah berdekatan rumahnya sebelum ke tempat bertugas di KEMAS Song, Sarawak.

“Pernah beberapa kali anak saya ikut saya ke kuliah dan peperiksaan kerana jarak rumah dari pusat saya belajar jauh dan tiada siapa yang menjaga anak. Semasa peperiksaan semester akhir saya juga terpaksa membawa anak-anak,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 02/12/2019 | Kemaskini: 03/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWMAU:12:56