| Universiti Putra Malaysia

Hutan Simpan Nirwana UPM Kampus Bintulu lindungi tumbuhan endemik di Borneo

BINTULU, 28 Oktober - Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) mempunyai hutan simpan berkeluasan 95 hektar yang dikenali sebagai Hutan Simpan Nirwana yang memulihara spesis tumbuhan Borneo.
 
Menariknya, hutan simpan ini merupakan satu-satunya kawasan yang mempunyai spesies tumbuhan endemik di Borneo yang dikenali sebagai Sarawakondendron filamentosum.
 
Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, Dr. Zamri Rosli berkata tumbuhan endemik merupakan satu-satunya tumbuhan yang hidup di satu-satu tempat sahaja. 
 
"Koleksi hidup spesis ini buat masa ini hanya terdapat di kawasan bukit Nyabau sahaja iaitu di sini. Oleh itu, pihak UPMKB akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan tanaman ini.
 
"Kita juga menanam sebanyak mungkin spesis tumbuhan termasuk pokok yang penting, sama ada sebagai sumber kayu balak mahupun bagi kepentingan lain seperti sumber buah, perubatan dan industri minyak wangi," katanya.
 
Jumlah anak pokok yang ditanam di hutan ini sehingga hari ini telah mencecah lebih sejuta pokok termasuk puluhan spesis pokok yang disenaraikan sebagai senarai merah pokok Sarawak pada 2014. - UPM

WXFeBAz~