| Universiti Putra Malaysia

Hasrat teroka bidang ilmu berbeza jadi kenyataan

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG, 6 Nov - Hasrat untuk meneroka pelbagai bidang ilmu menjadi kenyataan buat Clarence Billy Anak Bijug dari Sarawak apabila berjaya memperoleh Ijazah Bacelor Kejuruteraan (Proses dan Makanan) selepas memiliki diploma dalam bidang perikanan.

Begitupun, pada peringkat awal pengajian program bacelor kejuruteraan itu, katanya, beliau berdepan dengan sedikit kesukaran kerana ia bidang baharu baginya.

“Memang saya ‘struggle’ sedikit pada mulanya tetapi saya menanam keazaman untuk terus mengikuti dan menamatkan pengajian bacelor kejuruteraan. Syukur saya dapat melaluinya dengan jaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41 di sini.

Ibunya, Mita Jina, 54, turut datang meraikan kejayaannya.

Clarence Billy yang berasal dari dari Bau, Sarawak berkata beliau mengikuti program Diploma Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tetapi untuk peringkat bacelor di UPM beliau memilih bidang kejuruteraan kerana mahu menerolka pelbagai bidang ilmu (multi disiplin).

Katanya, UPM menjadi pilihan pertamanya untuk melanjutkan pengajian peringkat bacelor kerana UPM adalah antara Universiti Penyelidikan terbaik negara.

Beliau juga tidak berdepan dengan masalah untuk berjauhan dengan keluarga sepanjang pengajian kerana telah pun mula tinggal berjauhan dari keluarga selama tiga tahun ketika di UMT.

“Untuk masa ini, saya berhasrat untuk mencari pengalaman dalam bidang pekerjaan sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana,” katanya. - UPM   

SXDdXAt~