| Universiti Putra Malaysia

Harga Air Mineral ‘Kayangan’, Persoalannya Kenapa?

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Pada zaman sekarang ini, walaupun terdapat penapis air, amalkan juga minum air mineral yang penuh berkhasiat agar badan kekal sihat dengan menambah kandungan nutrisi dalam diri sendiri. Umum mengetahui air mineral harganya berbeza dan agak mahal berbanding harga air minuman yang bersamaan sepinggan nasi bujang.

Namun begitu mengapa air mineral harganya agak mahal berbanding yang lain. Lagi-lagi jenama air mineral yang sangat mahal dikelaskan sebagai 'air dari kayangan'.

 

Persoalannya mengapa air mineral mahal?

Air mineral ialah air bawah tanah yang telah disahkan selamat untuk diminum dan kemudian ditapis dan dibotolkan dengan sumber dan paling penting air mineral kaya dengan kalsium dan magnesium. Di Malaysia semua pengilang mempunyai lesen membotolkan air mineral tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Bukan itu sahaja, air mineral juga dapat dibezakan dengan air minuman biasa dengan melihat penutup botol berwarna kerana penutup berwarna putih dikhususkan untuk air minuman. Air ini mengandungi beberapa mineral semula jadi dari dalam tanah antaranya magnesium, kalsium, potassium, sodium, sulfate, bikarbonat, besi dan zink.

Kalsium memastikan tulang anda kuat, peredaran jantung yang baik dan membantu untuk menurunkan berat badan. Ia adalah sumber air semula jadi yang bukan sahaja bertujuan untuk menghilangkan dahaga, namun membantu tubuh anda menjadi lebih sihat.

Kesihatan tulang perlu dititikberatkan tidak mengira peringkat umur dengan mengambil kalsium selain dari susu, tetapi air mineral juga boleh diamalkan bagi menguatkan tulang.

Yang pentingnya, kandungan mineral di dalam air yang kita minum itu menepati standard yang telah ditetapkan oleh bahagian perkhidmatan kejuruteraan, kementerian kesihatan Malaysia, yang tertera di dalam “drinking water quality standard”.

 

Silika dalam air mineral

Ternyata dalam air mineral terkandung silika dalam jumlah tinggi. Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr. Shaharuddin Mohd Sham, silika atau nama lainnya  silikon dioksida (SiO2) adalah bahan semula jadi yang wujud di dalam tanah yang terbentuk daripada silikon dan oksigen.

Dalam air mineral, silica boleh wujud secara semula jadi dalam jumlah yang amat sedikit atau tiada langsung, bergantung kepada jenis batuan yang wujud di mana air mineral tersebut diambil.

Ada satu kajian menyatakan pengambilan silica membantu dalam kesihatan tulang, apabila diambil bersama suplemen vitamin D dan kalsium. Kajian tersebut menyatakan air mineral yang mengandungi silica membekalkan bahan tersebut yang mudah diserap oleh tubuh badan (Li et al., 2010).   

Berkaitan dengan penyakit demensia, ada satu kajian ke atas pesakit berumur 65 tahun ke atas yang telah dijalankan di selatan Perancis menunjukkan pengurangan risiko akibat penyakit tersebut apabila pertambahan pengambilan silica sebanyak 10 mg sehari (Rondeau et al., 2009).

Pengambilan air mineral boleh diamalkan oleh seluruh keluarga kerana ianya menggantikan mineral akibat aktiviti berat seperti senaman dan sepertinya. Mungkin yang perlu diberi perhatian adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan pendedahan yang rendah kepada sesetengah mineral tertentu.

Jadi, sudah cukup jelas bahawa pengambilan air kosong atau air mineral dalam kehidupan seharian amat penting untuk kesihatan. Amalkannya agar anda kekal sihat selalu.- UPM

WXEZJAm~