| Universiti Putra Malaysia

Hadir kuliah dua minggu selepas bersalin

Oleh Thiviyah Manicam

Foto oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 8 Okt – Berpegang kepada moto ‘kejayaan bukan mudah dikecapi, dan kita perlu mencipta sendiri kejayaan itu’ membolehkan pasangan suami isteri Kho Zhen Jia dan Hor Sze Lim berjaya memperoleh ijazah Master Pentadbiran Perniagaan  (MBA) (Kewangan) dengan keputusan cemerlang.

Tekad dan keazaman Hor, 34, diterjemah dengan menghadiri kuliah dua minggu selepas melahirkan anak ketiga mereka, walaupun ketika itu belum pulih sepenuhnya.

Kho, 34, pula mengajar isterinya itu pelajaran yang dipelajarinya di dalam kelas ketika Hor tidak hadir selama dua minggu kerana bersalin.

Kho  memperoleh CGPA 3.625 manakala Hor mendapat CGPA 3.828. Kedua-dua mereka mengikuti pengajian di Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia.

Ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Program Kerjasama Universiti Putra Malaysia – Institusi Pengajian Tinggi Swasta (UPM-IPTS) ke-19 di sini, mereka berkata, oleh kerana kuliah biasanya adalah pada hari bekerja dan bermula sebelah petang, mereka keluar pejabat awal iaitu kira-kira jam 4.30 petang untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

“Pada hari-hari itu, kami mula bekerja seawal jam 6.30 pagi sebagai menggantikan waktu pulang awal kerana menghadiri kuliah” kata mereka mula saling mengenali ketika menuntut di SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor sehinggalah kemudiannya melangsungkan perkahwinan.

Menurut mereka, belajar bersama-sama membolehkan mereka berdiskusi, membuat persediaan bersama bagi menghadapi peperiksaan, dan yang lebih penting wujud persaingan sihat untuk menjadi yang lebih baik. – UPM

WXDcVAf~