| Universiti Putra Malaysia

Gugup, hampir menangis bila dapat tahu menang dua anugerah konvo

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 12 Jan: Pemenang dua anugerah pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, Ruby Chow Heng Yee berkata beliau gugup dan hampir menangis apabila mendapat tahu beliau memenangi dua anugerah pada konvokesyen ini.

“Saya tak sangka sedikit pun…malah saya dah lupa sebab permohonan untuk hadiah universiti itu dibuat pada 2020.

“Saya dapat panggilan telefon daripada UPM memaklumkan saya memenangi dua anugerah pada 10 Disember 2021… bermakna sudah lebih setahun.,” katanya.

Majlis konvokesyen 2020 tidak diadakan ekoran pandemik COVID-19.

Ruby Chow, 26, daripada program Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Bukan Bumiputera) daripada Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Sesi 5, Majlis Konvokesyen UPM ke-44, di sini hari ini.

Satu lagi anugerah yang diterimanya ialah Anugerah Tun Abdul Razak, yang disampaikan oleh Pro-Canselor UPM, Academician Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim pada Sesi 1, Sabtu lalu.

Ruby Chow dari Seri Kembangan di sini, berkata sepanjang pengajian, beliau aktif dalam beberapa persatuan termasuk memegang jawatan bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM sesi 2018/19.

“Detik paling sukar semasa belajar ialah apabila saya terbabit dalam kemalangan motosikal menyebabkan kecederaan dan patah dua batang gigi.

“Hampir dua minggu saya tidak mengikuti kuliah, dan ketika itu ramai rakan-rakan yang membantu untuk saya dapat mengikuti semula pelajaran yang tertinggal,” katanya.

Katanya, kejadian itu menimbulkan kesedaran buatnya supaya perlu juga berehat dan memperuntukkan masa untuk diri sendiri kerana sebelum itu ada sahaja aktiviti dilakukannya setiap hari.

“Kejadian itu juga telah membuatkan saya lebih bersemangat untuk berjaya,” katanya. - UPM

WXFTWAx~