| Universiti Putra Malaysia

Graduan perlu miliki kemahiran berbahasa Inggeris: Tan Sri Mohd Bakke

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Sabri Omar

 

SERDANG, 28 Okt - Graduan diingatkan supaya memiliki kemahiran berbahasa Inggeris kerana ia antara keperluan asas yang perlu untuk meningkat dan berjaya dalam kerjaya.

 

Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, ramai graduan hari ini terpaksa menunggu lama sebelum mendapat pekerjaan yang sesuai kerana kurangnya keupayaan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa itu.

 

“Dalam dunia korporat, anda tidak boleh mengelak daripada menggunakan Bahasa Inggeris kerana bahasa ini merupakan bahasa antarabangsa.

 

“Sekiranya anda bekerja dalam sektor awam sekalipun, kemahiran berbahasa Inggeris akan turut memberikan anda kelebihan dalam berurusan dengan pihak luar agensi masing-masing,” katanya ketika berucap pada sesi 3, Majlis Konvokesyen ke-42 UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

 

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna graduan boleh mengetepikan Bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa kebangsaan dan setiap warga negara hendaklah mampu menggarap bahasa itu dengan baik selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

 

Beliau juga berkata, graduan perlu bersedia untuk terus memberikan sumbangan sejak hari pertama bekerja kerana majikan memerlukan graduan yang boleh terus bekerja dari hari pertama dan bukannya perlu dilatih lagi sebelum boleh bekerja dengan baik.

 

“Oleh itu anda perlu mampu belajar dengan cepat dan mengambil segala peluang yang ada untuk memperbaiki kemahiran serta kebolehan yang ada,” katanya.

 

Tan Sri Mohd Bakke juga berkata graduan perlu bersedia menghadapi dan bergerak seiring dengan konsep dan teknologi Industri 4.0 yang semakin banyak diterima pakai oleh industri dan semakin meluas di peringkat global.

 

“Kita tidak mahu Malaysia ketinggalan dalam Industri 4.0 sekali gus Revolusi Perindustrian keempat,” katanya, yang mahu graduan bersedia dengan ilmu pengetahuan yang dibekalkan dan terus belajar agar seiring dengan perkembangan konsep industri itu.

 

Graduan juga katanya, perlu menjadi pemimpin yang terbaik dalam organisasi masing-masing dengan kualiti kepemimpinan yang berwibawa, berintegriti serta amanah.

 

Beliau turut mengingatkan graduan supaya tidak sekali-kali melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga masing-masing yang menjadi teras serta kekuatan kepada kejayaan yang mereka raih. - UPM     

 

 

 

 

  

 

WXEZNAM~