| Universiti Putra Malaysia

Graduan perlu miliki kemahiran, beradab, junjung tinggi kehidupan insaniah

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 12 Jan: Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu graduan bukan sahaja melengkapkan diri untuk memenuhi pasaran kerja tetapi juga dengan kemahiran untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.

Gaduan seperti itu, titah baginda, akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan lain dan alam persekitaran, serta akhirnya menjamin masa depan yang lestari.

“Kejayaan yang diraih bukan sahaja daripada segi akademik tetapi juga keperibadian diri graduan,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UPM ke-44 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.

Baginda mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (master), Bacelor dan Diploma kepada 960 graduan pada Sesi 5, Majlis Konvokesyen itu.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin @ Hassan daripada Program Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian, Fakulti Sains; penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil daripada Program Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian; dan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Bukan Bumiputera) kepada Ruby Chow Heng Yee daripada Program Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia.

Baginda juga bertitah supaya graduan berjuang mempertingkatkan lagi martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat lebih tinggi melalui ilmu yang dipelajari.

Baginda turut mengingatkan graduan supaya menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara supaya bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara, sekali gus menjadi warga negara yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

Baginda juga menggesa graduan untuk meneruskan sinergi dengan alma mater UPM sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga universiti untuk merealisasikan kejayaan graduan, dengan menyumbang kepada pembangunan pelajar UPM dan membantu universiti berada pada landasan yang betul untuk membina generasi yang berilmu dan berwawasan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada UPM yang menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya sebagai universiti tahun lalu, baginda berharap UPM akan terus memacu kecemerlangan untuk 50 tahun akan datang dengan semangat solidariti dalam kalangan staf, pelajar dan alumni.

Baginda berharap Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang dilancarkan Disember lalu akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan dan peranan UPM sebagai sebuah Menara Ilmu, dan berharap pelan itu disokong oleh semua pihak termasuk graduan yang bakal menjadi alumni UPM.

“UPM telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam ranking universiti terbaik dunia, dan Beta berharap semua pihak dapat memberikan sokongan padu agar UPM dapat merealisasikan fungsi dan peranannya dengan lebih sempurna terhadap masyarakat dan negara,” titah baginda.

Baginda juga bertintah, meskipun impak COVID-19 sangat besar terhadap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk UPM yang terpaksa menangguhkan istiadat konvokesyen tahun lalu, universiti telah bersungguh-sungguh mengekang penularan pandemik itu. - UPM

SXDdOAZ~