| Universiti Putra Malaysia

Graduan perlu juga beri perhatian kepada kecemerlangan secara holistik

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 24 Mac: Kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencerminkan kejayaan dan kehebatan seseorang graduan. kata Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.

Sehubungan itu, katanya, graduan perlu juga memberi perhatian kepada pembangunan dan kecemerlangan secara holistik, serta menjadi contoh yang baik pelajar yang masih berjuang dalam menuntut ilmu.

“Tunjukkanlah kepada masyarakat bahawa graduan UPM bukan sahaja hebat dalam akademik, malah hebat juga dari aspek sahsiahnya.

“Graduan yang berkualiti dan andal, bukan hanya cemerlang dalam pencapaian akademik, sebaliknya turut cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek,” katanya ketika berucap pada Sesi 6, Majlis Konvokesyen UPM ke-45, di sini hari ini.

Katanya, graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab adalah amat penting ke arah melahirkan warga Malaysia yang berjiwa mulia.

Beliau juga mengingatkan graduan untuk tidak sesekali melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga masing-masing, yang menjadi teras serta kekuatan kepada kejayaan yang diraih.

“Restu dan doa mereka, khususnya ibu bapa, amat penting dalam kehidupan,” katanya.

Beliau juga berkata graduan perlu menjadikan kejayaan yang dicapai hari ini sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam hidup dan kerjaya.

Beliau berharap, graduan selaku Alumni UPM akan sentiasa menyokong usaha memperkukuh hubungan serta menjalin hubungan yang lebih erat antara alumni dengan alma mater UPM.

Katanya, graduan akan menjadi duta UPM ke seluruh dunia dan bertanggungjawab menjaga nama baik universiti dengan menyerlahkan keterlihatan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, walau di mana pun mereka berada.

Beliau berkata, tanggungjawab menjaga nama baik UPM bukan hanya semasa menjadi mahasiswa UPM tetapi ia masih tergalas di bahu walaupun setelah menjadi alumni. - UPM

SXEaAA~