| Universiti Putra Malaysia

Graduan orang Asli bangga sambung belajar bidang perhutanan

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Sabri Omar

BINTULU, 1 November - Sebagai orang Asli, graduan wanita ini sangat berbangga berjaya menamatkan pengajian dalam bidang diploma perhutanan walaupun pelbagai dugaan terpaksa ditempuh olehnya.

Norlie Jonit, graduan Diploma Perhutanan berkongsi bahawa program ini sangat digemari olehnya kerana sebagai masyarakat suku Jakun, ilmu perhutanan sudah lama sebati dalam dirinya kerana hutan dan orang Asli sangatlah dekat.

“Namun dengan ilmu yang diperolehi ini dapat membantu untuk membuat penyelidikan dalam bidang perhutanan dan serangga digabungkan dengan adat orang Asli di kampung kami pada masa depan.

Walaupun dipandang rendah oleh masyarakat di kampungnya kerana menyambung pengajian dalam bidang perhutanan, namun ia tidak menghalang beliau untuk meneruskan pengajian di UPMKB selama dua tahun.

“Ramai belia tidak berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perhutanan. Tetapi saya menggalakkan semua untuk sambung belajar dalam bidang ini kerana Malaysia sangat memerlukan pakar dalam bidang perhutanan dan pertanian,” katanya.

UPM buat julung kalinya melangsungkan Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang 1 di UPMKB pada 1 November 2022 di Dewan Seri Kenyalang, UPMKB.-UPM

WXDdUAo~