| Universiti Putra Malaysia

Gabungan kaedah tradisional dan moden tingkat hasil beras Bario Sarawak

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Sabri Omar

Mungkin tidak ramai orang Semenanjung yang pernah merasai akan keenakan beras Bario ini kerana ianya amat sukar untuk didapati dan jika dijual di Semenanjung harganya menjadi berlipat kali ganda.

Peredaran zaman yang semakin moden, beras Bario masih menggunakan kaedah penanaman dan pengeluaran beras Bario secara tradisional dengan standard organik serta pengeluaran beras tanah tinggi yang bebas daripada pencemaran alam.

Ini menyebabkan kewujudan beras Bario kurang diketahui umum diatas faktor penanaman berskala kecil serta tidak dapat dipasarkan ke luar daerah.

Timbalan Pengarah Institut EkoSains Borneo, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Prof. Dr. Patricia King Jie Hung berkata, ekosistem penanaman beras Bario perlu difokuskan kerana ianya adalah harta pusaka Sarawak yang perlu diperjuangkan.

“Institut EkoSains Borneo, UPMKB sangat mementingkan kelestarian bagi melindungi semua jenis-jenis padi Bario yang terdapat di Sarawak. Oleh itu, kajian yang dilakukan amat menyeluruh dengan melakukan kajian untuk mencari solusi bagi meningkatkan hasil beras Bario serta mencari kaedah terbaik untuk dipasarkan didalam dan luar negeri Sarawak.

“Kajian yang dilakukan oleh pihak kami untuk menambah baik teknik penanaman padi disamping mengekalkan tradisi etnik di sini. Disamping itu, kami perlu mencari nutrisi tanah yang digunakan dan mengenalkan fomulasi serangga dan kawalan yang mesra alam supaya alam sekitar kekal dijaga dan kelestarian dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berharap dengan kajian yang dilakukan ini dapat meningkatkan keuntungan kepada petani dan mengekalkan kualiti beras ini walaupun kuantitinya sudah ditambah kelak pada masa depan.

“Bukan itu sahaja, kami sangat mementingkan adat isiadat masyarakat Sarawak yang mempunyai lebih daripada 20 etnik dan akan seiring dengan perubahan teknologi moden yang akan kami beri perubahan kepada penduduk setempat, pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak dengan penyelidikan dan pemahaman lebih baik terutama aspek seperti biodiversiti, ekologi, warisan kebudayaan, sejarah, astropologi serta kepelbagaian bahasa,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB, Dr. Zakry Fitri Ab. Aziz berkata, UPMKB akan terus memelihara variati beras Bario dengan menggunakan pendekatan moden dan tradisional agar keharmonian dapat dipadan dengan landskap dan alami masyarakat setempat.-UPM

WXETHA~