FPAS Anjur Environmental Forensic Education & Research Exhibition | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » FPAS anjur Environmental Forensic Education & Research Exhibition

FPAS anjur Environmental Forensic Education & Research Exhibition

HULU SELANGOR – Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Environmental Forensic Education & Research Exhibition sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat daerah Hulu Selangor baru-baru ini.

Program dirasmikan oleh wakil daripada pejabat Ahli Parlimen Hulu Selangor, Low Chun Yong. Turut hadir Ahli Majlis Kawasan, B. Rajakumar dan Penolong Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Mohd. Shaiful Rizza Piamin, Ahli Majlis MDHS serta Pengarah Jabatan MDHS.

Program dianjurkan dengan kerjasama STANCO Alam Sekitar Negeri Selangor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MDHS dan Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, UPM.

Program Environmental Forensic Education & Research Exhibition adalah satu daripada aktiviti dalam pelaksanaan Kursus Kajian Lapangan Alam Sekitar Bersepadu (ESC4801) bagi pelajar tahun tiga program Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar (BSTAS) dan Projek Pemindahan Ilmu Pemonitoran Kawasan Sungai Bernam & Potensi Sistem Rawatan Air kepada komuniti Sungai Bernam.

Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat Hulu Selangor oleh MDHS merupakan permulaan koloberasi jangka panjang dengan menjadikan Sungai Bernam sebagai projek flagship MDHS-UPM dalam projek kelestarian sungai.

Aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program yang bermula pada 27 September 2019 itu adalah siri aktiviti kerjasama antara UPM, MDHS, Persatuan Sahabat Sungai Bernam dan komuniti setempat yang terdiri dari komuniti Kampung Pasir Putih, Kampung Baru A dan Kampung Keliang.

Penglibatan langsung pelajar di dalam aktiviti itu mendedahkan mereka kepada pengalaman dalam menjalankan aktiviti pengambilan sampel kajian di lapangan serta menyelidik kaedah yang berpotensi memulihara dan memelihara ekosistem sungai.

Penyertaan di dalam aktiviti pameran Environmental Forensic Education & Research Exhibition pula memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan kaedah kemahiran pengucapan awam berkesan.

Pembentangan dan pameran hasil kajian Sungai Bernam dan Sungai Inki oleh pelajar juga dapat memberi maklumat terkini kepada masayarakat setempat status kualiti air sungai di sekitar mereka dan kaedah memeliharanya.

Program itu memberi kesedaran kepada komuniti setempat mengenai kepentingan merawat air sisa sebelum dilepaskan kedalam sungai. Gimik perasmian sistem rawatan air sisa rekaan konsep yang dihasilkan oleh pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar turut dipertontonkan. - UPM 

 

 

 

 

Tarikh Input: 28/01/2020 | Kemaskini: 28/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJaRAh:17:46