| Universiti Putra Malaysia

Fakulti Pertanian UPM jalin kerjasama Pejabat Daerah Muar tingkat hasil pengeluaran padi

Oleh: Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin
Gambar: Facebok Sultan Ibrahim Sultan Iskandar 

MUAR, 9 Ogos – Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke Program Bersama Rakyat di Sungai Balang, Muar dan turut dipersembahkan taklimat mengenai penanaman padi menggunakan teknologi baharu.

Penyelidik dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dijemput memberi penerangan mengenai kepentingan pemuliharaan sawah padi dan rawatan tanah berasid di sawah Sungai Balang, Muar.

 

Delegasi UPM diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsuddin dan turut disertai oleh Prof. Dato’ Abdul Shukor Juraimi, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin bersama empat orang pensyarah dari Fakulti Pertanian, UPM (Dr. Mohd Firdaus Mohd Anuar, Dr. Roslan Ismail, Dr. Syaharudin Zaibon dan Dr. Elisa Azura Azman).

Fakulti Pertanian, UPM, secara aktif telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Muar dalam usaha membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi dan seterusnya sosio-ekonomi komuniti pesawah di sini.

Selain itu juga, kawasan ini turut dijadikan kajian kes bagi pelaporan Kajian Guna Tanah Sumber Makanan Negara di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia) dalam menilai kepentingan pengekalan tanah pertanian bagi tujuan Sekuriti Makanan Negara. – UPM

SXEaPAb~