| Universiti Putra Malaysia

Fakulti Kejuruteraan lancar Thinker Space 2.0

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 4 Oktober – Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Kelas Pintar atau Smart Classroom berprestij yang dinamakan sebagai Thinker Space 2.0 hasil kerjasama strategik dengan Steelcase Office Solutions (M) Sdn. Bhd.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata langkah kerjasama dan inisiatif ini adalah sejajar dengan salah satu daripada lima strategi utama dalam hala tuju UPM 2021-2025, iaitu Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan.

“Hasil pembangunan ini bukan sahaja selaras dengan pemerkasaan kampus pintar mahupun Agenda Digital Negara, tetapi menjadikan Thinker Space 2.0 UPM sebagai prototaip smart classroom berprestij kepada Universiti Awam (UA) di Malaysia," katanya.

Thinker Space 2.0 telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian di sini, hari ini.

Sementara itu, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dengan Steelcase Office Solutions (M) Sdn Bhd turut diadakan pada majlis tersebut dan disaksikan oleh Dato’ Dr. Megat Sany.

Sesi menandatangani MoU ini dilakukan antara Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin yang mewakili UPM manakala pihak Steelcase Office Solutions (M) Sdn Bhd. diwakili oleh Director, Product Engineering, Ir. Dr. Abdul Azim Abdul Rahman dan Director Supply Management, Dr. Suntheresan Ganapathy.

Dalam pada itu, Dato’ Dr. Megat Sany juga berkesempatan membuat lawatan sekitar Fakulti Kejuruteraan UPM termasuk pejabat Dekan bersama YH. Dato’ Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor UPM dan dekan-dekan fakulti UPM. – UPM

WXEQOAZ~