| Universiti Putra Malaysia

Enam resolusi KL sebagai kota buku dunia

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari dan Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto: Sabri Omar

 

SERDANG, 25 Ogos – Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan menyasarkan 1% buku perlu diterbitkan berasaskan jumlah penduduk negara.

Enam resolusi dibentangkan oleh Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dato' Dr. Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad pada majlis penutup Ekspo Buku Malaysia 2022 bagi mencapai penerbitan tersebut seperti berikut:

  1. Sebanyak 37,000 buku mesti diterbitkan setahun berdasarkan jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 37 juta.
  2. Pengurusan dan pentadbiran universiti mesti mengambil kira penerbitan buku ilmiah dan buku ilmu dalam bahasa Melayu oleh para akademik sebagai salah satu kriteria untuk dipertimbangkan dalam kenaikan pangkat.
  3. Para cendekiawan di universiti perlu mengambil tanggungjawab untuk menerbitkan buku ilmiah, buku ilmu dalam bahasa Melayu sama ada untuk pembaca khusus mahupun khalayak umum.
  4. Kelab Penulis Pengajian Tinggi perlu ditubuhkan di setiap universiti dan membuat kolaborasi dengan universiti serantau seperti Indonesia.
  5. Memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai wadah penyaluran buku dalam pelbagai medium seperti telenovela, drama dan filem.
  6. Memastikan penerbitan karya kreatif sebagai wahana oleh masyarakat untuk menyatakan perasaan terhadap sesuatu perkembangan diperbanyak di samping penerbitan buku ilmiah dan buku ilmu.

Resolusi tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato' Ts. Kamel Mohamad untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia sebagai makluman dan pertimbangan. - UPM

WXEUJAk~