| Universiti Putra Malaysia

Dua pelajar UPM terpilih untuk percalonan Anugerah Pengakap Dunia 2019

SERDANG , 24 Julai – Dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Azrol Hafizi Azman dan Atikah Che Ismail menyertai 12 orang dalam pasukan Walkside by Rovs Project melaksanakan projek pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter di Jalan Mesra, Dato’ Keramat Kuala Lumpur.

Pembinaan laluan pejalan kaki itu mengunakan kira-kira 80,000 penutup botol plastik minuman yang dikumpulkan melalui pelbagai aktiviti seperti promosi kempen pendedahan kepentingan penjagaan alam sekitar kepada para pelajar sekolah dan universiti, pembersihan di jalanan, serta hari terbuka di karnival, sektor korporat dan di media sosial.

Mohd Azrol Hafizi, pelajar Master Sastera (Bahasa Arab) UPM, berkata projek itu dijadikan model projek contoh melalui pelbagai kempen yang dalam menarik lebih ramai golongan belia di Malaysia dan luar negara untuk turut sama terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti setempat dalam melaksanakan projek berinovasi dengan mengutamakan konsep pemeliharaan alam sekitar ke arah Pencapaian Dunia Mapan SDGs (Sustainable Development Goals).

Katanya, Anugerah Pengakap Dunia (Scouts of the World Award) diwujudkan untuk mencabar ahli pengakap dan bukan ahli pengakap daripada golongan belia berumur 15 hingga 26 tahun di seluruh dunia.

“Anugerah itu turut menawarkan peluang untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran serta nilai yang diperlukan untuk menjadi warganegara dunia yang boleh memainkan peranan aktif dalam memjadikan dunia menjadi tempat yang lebih baik bermula dengan komuniti setempat,” katanya.

Calon yang lulus penilaian projek mereka secara individu akan menerima Anugerah Pengakap Dunia (Scouts of the World Award) daripada Ketua Pengakap Negara Malaysia dan mendapat pengiktirafan dari World Organization of the Scout Movement (WOSM).

Anugerah itu yang merupakan anugerah berprestij di peringkat dunia akan memberi kuasa autonomi kepada anak muda menjalankan aktiviti sebagai sebahagian daripada undang-undang Pengakap yang menjadikan diri mereka berguna dan sentiasa menolong orang. - UPM

SXDTOA6~