| Universiti Putra Malaysia

Dua graduan terima ijazah Master dapat Anugerah Human Governance

Oleh Muhamad Afiq Ab Latif & Auliyaa Putri Ulfana

Foto oleh Noor Azreen Awang

  Nor Azhar Manap (KIRI) & Mafidah Mansor (kedua dari kiri)

SERDANG, 8 Nov -  Suka berkongsi ilmu pengetahuan dan melakukan pelbagai kerja amal di sebalik kesibukan pengajian, membolehkan dua graduan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan sahaja berjaya memperoleh ijazah Master malah turut terpilih memenangi  anugerah Human Governance.

Nor Azhar Manap menerima ijazah Master Pentadbiran Perniagaaan (Perniagaan Antarabangsa), manakala Mafidah Mansor memperoleh ijazah Master Pengurusan (Teknologi Maklumat), pada Majlis Konvokesyen Program Kerjasama Universiti Putra Malaysia-Institusi Pengajian Tinggi Swasta (UPM-IPTS) ke-19 di sini. Mereka masing-masing juga terpilih memenangi Anugerah Human Governance.

Nor Azhar, 37, yang bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata seseorang itu tidak akan kerugian apa-apa jika berkongsi dan menyampaikan ilmu kepada yang lain untuk sama-sama berjaya dalam kehidupan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pelajar Putra berkata, kesibukan hidup berkeluarga juga tidak menghalangnya menganjurkan pelbagai program kebajikan untuk masyarakat, kerana menurutnya, pengurusan dan pembahagian masa adalah penting untuk berjaya dalam apa juga bidang yang disertai.

                                                                       

Mafidah, 42, pula yang bertugas sebagai di Lembaga Hasil Dalam Negeri berkata,  sebagai wanita bekerjaya dan pada masa yang sama juga sebagai ibu, bukan merupakan halangan untuknya terus belajar sehingga memperoleh ijazah Master serta untuk aktif dalam persatuan.

 “Berpersatuan dan memegang jawatan memberi peluang untuk saya terus memajukan lagi diri dan dapat memenuhi masa saya dengan aktiviti berfaedah,” katanya yang juga bendahari Persatuan Pelajar Putra.  - UPM

SXEUUAq~