Dr Maszlee Malik Lancar Putra Future Classroom UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dr Maszlee Malik lancar Putra Future Classroom UPM

Dr Maszlee Malik lancar Putra Future Classroom UPM

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 6 Mac - Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Putra Future Classroom (PFC), sebagai satu daripada inisiatif ‘Smart Campus’ bertujuan menyemarakkan ekosistem pembelajaran dan pengajaran berbantukan teknologi agar ia menjadi lebih kondusif dan menyeronokkan bagi pelajar dan warga kampus.

Pelancaran PFC disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Auditorium Fakulti Pengajian Pendidikan UPM di sini, semalam.

Seiring dengan era Revolusi Industri 4.0 dan gagasan Pendidikan 4.0, PFC berfungsi sebagai pusat rujukan prototaip bilik darjah atau bilik kuliah masa depan yang menggunakan amalan terbaik pengintegrasian teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran.

Ia juga berperanan sebagai ‘launching pad’ teknologi dan ‘test bed’ sampel kelas atau bilik kuliah abad ke-21 yang sentiasa mengalami perubahan selaras dengan matlamat melahirkan generasi pelajar ‘ulul albab’ yang ‘future proof’, teguh jati dan bepekerti unggul.

PFC menggunakan pendekatan pembelajaran dan pengajaran terkini yang interaktif, teradun dan mengambil peluang aplikasi teknologi canggih mudahalih seperti cloud, augmented dan virtual realities, internet of things, data analytics dan artificial intelligence dengan berpandukan kepada teras pendidikan yang menjadi akar dan dasar kepada setiap perencanaannya.

Kurikulum PFC direka untuk lebih customised dan personalized berdasarkan kerangka pendidikan yang mengambil kira aspek ekosistem kondusif, psikologi pembelajaran, interaksi ruang dan masa, aplikasi teknogogi dan penerapan nilai insahiah.

Ketika berucap melancarkannya, Dr Maszlee berkata, PFC adalah sebuah makmal pembelajaran dan pengajaran yang boleh membawa perubahan kepada falsafah, landskap dan ekosistem serta amalan terbaik dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata, pendemokrasian pendidikan melalui program, aplikasi dan peranti yang dibangunkan adalah ke arah melahirkan rakyat yang terdidik dan berdaya maju.

Sehubungan itu katanya, institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta perlu berganding bahu mewujukan aplikasi atau peranti untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran, antaranya bagi Bahasa Inggeris, Matematik termasuk bagi kanak-kanak di peringkat pra-sekolah.

Katanya, aplikasi yang mesra warga emas dan golongan pesara juga boleh dibangunkan berdasarkan pembelajaran sepanjang hayat kerana tiada alasan untuk tidak perlu belajar apabila usia semakin meningkat.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr.Aini Ideris pula berkata, PFC menjadi pusat latihan, inkubator penghasilan bahan pembelajaran online, dan pencetus inovasi integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, PFC yang menggunakan pendekatan unik moto ‘technology-enhanced talaqqi’, adalah untuk memandu pembelajaran melalui kehadiran guru, sifu, dan alim dengan tidak hanya mengambil apa sahaja yang dibentangkan di luar sebagai rujukan ilmu.

Manakala makna ‘future’ yang menjadi definasi penggerak PFC, diletakkan dalam konteks yang luas iaitu masa depan yang mencakupi kehidupan di dunia dan di akhirat. – UPM

 

Tarikh Input: 06/03/2019 | Kemaskini: 13/03/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569093553