Dr. Hafidzi Terima Anugerah Maulidur Rasul 1436H/2015 Peringkat Kebangsaan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dr. Hafidzi terima Anugerah Maulidur Rasul 1436H/2015 peringkat kebangsaan

Dr. Hafidzi terima Anugerah Maulidur Rasul 1436H/2015 peringkat kebangsaan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh


PUTRAJAYA - Prof. Madya. Dr. Hafidzi Mohd. Noor dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Maulidur Rasul 1436H/2015 sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya pada 3 Januari, 2015 baru-baru ini.

Beliau yang menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara sembilan penerima anugerah itu di mana masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan termasuk seorang menerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul.



Dr. Hafidzi Mohd. Noor dinobatkan sebagai penerima atas usaha beliau sebagai pengerusi organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Aqsa Syarif Berhad yang mengutip dana memberi bantuan kemanusiaan seperti bekalan perubatan, makanan dan pendidikan kepada rakyat Palestin dan kem-kem sementara rakyat Palestin di Beirut, Jordan dan Syria.

“Anugerah ini bukan milik peribadi tetapi sebenarnya untuk perjuangan pembebasan Palestin dan akhirnya pembebasan Masjid Al-Aqsa.

“Saya dedikasikan anugerah ini buat pejuang dan masyarakat hari ini yang bertungkus lumus untuk memastikan bumi Palestin, tanah suci orang Islam termasuk masjid Islam ketiga agar bebas satu hari nanti,” jelasnya.

Selain beliau, penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain ialah tiga ahli akademik iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail, Datuk Saleh Mad dan Datuk Mahamud Abdul selain  penyanyi nasyid, Nazrey Johari; pendakwah bebas, Muhammad Abdullah; Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Kolonel Mohd. Sakri Husin dan atlet paralimpad, Mohd. Azlan Mat Lazim.

Imam Besar Masjid Negara, Datuk Seri Syaikh Ismail Muhammad dinobatkan sebagai tokoh perdana Maulidur Rasul 1436H/2015M.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566352162