| Universiti Putra Malaysia

Dogathonâ„¢ himpun 700 ekor anjing, kumpul dana haiwan terbiar

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Saleha Haron

 

SERDANG: Sebanyak 700 ekor anjing dihimpun melalui program Dogathon™ 2019 bagi mengumpul dana Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (PRO-KASIH) anjuran pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Hair Bejo berkata, program itu dimulakan pada 1997 bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan  kebajikan terutama bagi kempen mengawal haiwan terbiar melalui aktiviti larian kebajikan melibatkan pemilik bersama haiwan kesayangan.

“Program ini adalah platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai haiwan terbiar serta mampu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan komuniti setempat berhubung penjagaan haiwan peliharaan dan kebajikan haiwan jalanan,” katanya.

Beliau berkata, Dogathon™ 2019 adalah medan untuk membincangkan langkah yang berkesan dalam mengatasi permasalahan haiwan terbiar.

“Dogathon™ dapat menyebarkan maklumat berkaitan haiwan kesayangan kepada orang ramai melalui pelbagai sudut seperti tanggungjawab sebagai pemelihara, penjagaan kesihatan haiwan, kaedah pelaksanaan penjagaan kebajikan haiwan terbiar serta maklumat kerjaya sebagai ahli veterinar,” katanya.

Program Dogathon™ 2019 yang bertemakan “Superhero Doggos” melantik Miss World Malaysia 2009, Thanuja Ananthan sebagai Duta Dogathon 2019. Turut hadir,   Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Veterinar UPM, Prof. Dr. Siti Suri Arshad dan DJ Radio On Air, Xiao You dan Andrew.

Antara baka anjing yang di himpun ialah Labrador, Siberian Husky, Poodle, Shih Tzu, German Shepherd, Retriever dan Mix Breed.

Sementara itu, pelajar Tahun Tiga Program Doktor Perubatan Veterinar, Tan Wei Yang, 21, berkata melalui program itu beliau mempelajari ilmu baharu serta semangat kerjasama antara pelajar veterinar dan pensyarah fakulti.

“Dengan kerjasama pelajar veterinar selama sembilan bulan, program Dogathon™ dapat direalisasikan dengan lancar. Harapan saya di masa akan datang akan ada penambahan bilangan anjing serta pengunjung,” katanya.

 

Katanya, pelajar UPM digalakkan untuk menyokong dan menyertai aktiviti supaya mereka mempelajari kesedaran kebaikan 'neuter and release' dalam usaha mengurangkan bilangan anjing dan kucing liar.

 

Rakannya, Chan Wey Yuh, 21, berkata program itu memberikan beliau pendedahan mengenai pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab serta pengendalian program untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

“Saya berharap program ini akan diteruskan agar masyarakat terus menyokong dan prihatin mengenai kepentingan mengawal haiwan terbiar serta prihatin kepada isu-isu kebajikan haiwan,” katanya. - UPM

 

 

 

 

SXDdUAN~