| Universiti Putra Malaysia

Disleksia bukan halangan raih Bacelor Perakaunan

Oleh: Dr. Cheng Kai Wah, FEM

SERDANG, 9 Jan – Walaupun hanya berupaya menguasai kemahiran 3M - membaca, mengira dan menulis - ketika Darjah 4 tetapi permulaan itu tidak menghalang Amirul Ashraf Mohamad Azmi, 26, dari Sekolah Pengajian Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menggenggam ijazah Bacelor Perakaunan dalam Majlis Konvokesyen UPM ke-44, hari ini.

Beliau disahkan menghidap Disleksia, yang menjejaskan keupayaan pembelajaran, namun terus gigih sehingga mampu menghabiskan pengajian bacelor dalam tempoh empat tahun, tanpa sebarang kursus yang gagal, sama seperti mahasiswa lain.

“Hari ini merupakan hari yang amat istimewa untuk saya. Bacelor Perakaunan bukan satu program yang mudah, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang menghadapi Disleksia seperti saya,” katanya.

“Saya sentiasa berpegang prinsip bahawa meskipun seseorang mahasiswa mempunyai kekurangan fizikal atau mental tetapi mereka seharusnya percaya pada diri sendiri. Jangan pandang rendah terhadap kemampuan diri dan jangan cepat berputus asa jika berhadapan sebarang cabaran dalam akademik,” katanya.

Setiap kanak-kanak mesti ada bakat mereka tersendiri, dan oleh itu katanya, ibu bapa atau penjaga perlu ada kesedaran supaya memainkan peranan dan membawa anak mereka berjumpa pakar sekiranya anak mereka mempunyai masalah Disleksia.

Beliau juga berkata, mahasiswa perlu mempunyai perancangan harian dan sasaran diri sendiri baik dalam kehidupan mahupun bidang akademik, serta perlu pandai membahagikan masa untuk bersukan dan membuat ulang kaji pelajaran.

“Saya ada banyak kenangan manis bersama rakan sekelas di kampus UPM. Kami selalu berjoging di Bukit Ekspo serta bermain badminton dan futsal di Pusat Sukan. Peristiwa paling manis dan bersyukur ialah saya berjumpa bakal isteri saya di sini,” katanya.

Beliau yang kini adalah akauntan di sebuah syarikat. swasta dalam sektor semikonduktor, merancang menyambung pengajian dalam Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dalam masa terdekat. – UPM

WXEUHAL~