| Universiti Putra Malaysia

Dinamik pendidikan dalam pembinaan identiti ahli akademik - TNCAA UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun 

SERDANG, 16 Dis - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail hari ini menyampaikan syarahan inaugural yang bertajuk Professional Socialisation in Academic : Deliberating the Dynamics of Continuing Education and Identity Construction di Auditorium Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM.

Menurutnya, syarahan sulung ini membincangkan pemahaman yang lebih baik terhadap sosialisasi ahli akademik dan kepentingan sentiasa beradab dan bertolak-ansur.

Beliau mengulas, kerjaya sebagai seorang ahli akademik bukan sahaja bergantung pada kelayakan akademik semata-mata, namun adab dan keperibadian seorang pendidik perlu diberi keutamaan.

“Sebagai ahli akademik, kita perlu membina identiti masing-masing serta terus belajar untuk melibatkan diri dan meletakkan diri dalam komuniti yang pelbagai.

“Pembinaan identiti dalam akademik boleh memberi manfaat kepada ahli akademik dalam mengemudi usaha dan kerjaya masa depan mereka,” katanya.

Seterusnya, seorang ahli akademik perlu memiliki kemahiran bersosial dan berusaha untuk mempunyai pengetahuan dalam bidang lain selain pengkhususan kepakaran bidang masing-masing.

“Perkongsian syarahan ini turut membincangkan penglibatan dalam komuniti atau Community of practice (COPs) membantu identiti seorang ahli akademik. COPs ini akan menonjolkan kedudukan ahli akademik itu bergantung pada keupayaan mereka melibatkan diri dalam komuniti.

“Dinamik pendidikan yang berterusan dan pembinaan identiti merupakan pengembaraan yang patut diterokai dalam pengalaman dunia sosialisasi kita. Seorang pendidik dalam bidang sains sosial perlu juga mengambil tahu bidang lain seperti kejuruteraan, kesihatan dan lain-lain bidang.

“Semoga perkongsian di dalam syarahan ini memberi pemahaman yang lebih baik tentang sosialisasi akademik dan menyerlahkan lagi bagaimana ahli akademik secara refleks membina identiti akademik mereka sekaligus memberi manfaat kepada ahli akademik lain dalam mengemudi usaha kerjaya di masa hadapan,” katanya. -UPM

WXEUBA~