| Universiti Putra Malaysia

Derma darah boleh diteruskan pada bulan Ramadan

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 5 April - Penderma darah tetap disarankan untuk menderma darah walaupun pada bulan Ramadan agar stok bekalan darah tidak berkurangan, kata Pegawai Perubatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Dr. Mohamad Izameer Ashraf Mohd Amran.

“Ini kerana penderma tetap akan berkurang disebabkan berpuasa pada siang hari dan selepas berbuka puasa mereka berkejar untuk menunaikan solat sunat Tarawih.

“Apabila stok darah berkurangan, pihak hospital terpaksa mengutamakan pesakit kritikal ataupun mangsa kemalangan teruk untuk menerima bekalan darah,” katanya.

Dr. Mohamad Izameer berkata, penderma darah tetap yang risau kesihatan mereka terjejas boleh menderma darah pada awal pagi dan melewatkan sahur untuk menderma darah pada hari itu.

Dr. Mohamad Izameer,  Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM)

 

“Namun bagi penderma kali pertama mereka amat digalakkan untuk menderma pada waktu malam agar mereka tidak serik untuk menderma darah selepas itu,” katanya.

Pengarah Pusat Islam UPM, Zuhaimi Abdul Rahim berkata, hukum berbekam tidak membatalkan puasa, maka ianya diqiyaskan dengan hukum menderma darah yang mana ianya juga tidak membatalkan puasa.

Zuhaimi Abdul Rahim, Pengarah Pusat Islam UPM

 

“Pendapat jumhur iaitu pendapat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’ie dan selainnya mengatakan bahawa tidak batal puasa bagi yang berbekam,” katanya.

Katanya, hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan juga tidak membatalkan puasa secara umumnya.

“Sekiranya dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka pada keadaan itu makruh,” katanya. - UPM

WXEUWAr~