| Universiti Putra Malaysia

Debat maya antara kolej universiti pembugar intelek pelajar IPT

SERDANG, 27 Jun – Sebanyak 16 pasukan dari enam negeri menyertai Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2021 (DELIA 2021).

Ia dianjurkan Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tiga Belas (K13) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama antara pihak pengurusan K13, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengarah DELIA2021, Aiman Iqbal Ibrahim berkata program itu bagi melahirkan pelajar yang mempunyai bakat dalam perdebatan, daya saing yang sihat serta mampu berfikir pada tahap tertinggi.

“Pertandingan ini juga dapat memberi ilmu pengetahuan dan  pengalaman baharu kepada semua pihak serta memperbaiki kemahiran dalam ilmu perdebatan,” katanya.

Pertandingan pusingan awal berlangsung pada 19 dan 20 Jun, suku akhir  dan separuh akhir (21 Jun), manakala pentas akhir  (27 Jun). Usul perdebatan adalah berkaitan isu belia. Selama seminggu persiapan diberikan kepada peserta untuk menyediakan hujah perdebatan berdasarkan senarai usul yang diberi.

Pentas Akhir dan Majlis Penutupan DELIA2021 diadakan pada malam 27 Jun lalu. Tetamu kehormat ialah Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP, Mohd Fadzli Tajuid dan Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Shahriman Hashim.

Pasukan Kolej UniSZA muncul johan, manakala naib johan disandang pasukan Kelompok Cendekiawan UNITEN.

Kedua-dua pasukan telah menonjolkan sesi perdebatan yang sengit dan bertenaga.

Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan dimenangi Mohamad Hakimi Mohamad Kaberi, manakala Anugerah Pendebat Terbaik Pentas Akhir dimenangi Muhammad Afif Nazhan Mohd Hasni. Kedua-dua mereka daripada pasukan Kelompok Cendekiawan UNITEN.

Mohamad Hakimi ketika ditemui berkata, DELIA 2021 telah menunjukkan peningkatan ketara dari sudut kualiti dan prestijnya dari tahun ke tahun, manakala program juga berjalan lancar.

Penyertaan peserta semakin bertambah, mutu penghakiman amat memuaskan dan tema belia yang diberikan menarik untuk dibahaskan.

Beliau berharap agar pertandingan itu dapat terus dijalankan untuk menjadi program yang hebat dan menyerlah di IPT. - UPM

SXEZUA~