| Universiti Putra Malaysia

Daun misai kucing antara ulam-ulaman yang berkhasiat dan enak

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Izrul Bin Abdul Jabar

PUCHONG, 10 Mei - Misai kucing (orthosiphon stamineus, benth) adalah pokok herba yang terdapat di Asia Tenggara dan beberapa kawasan tropika Australia. Ia mula menarik perhatian pengkaji seawal permulaan abad ke-20, apabila pokok ini diperkenalkan ke Eropah dan menjadi teh herba popular yang dikenali sebagai 'Java Tea'.

Ekstrak pokok ini diguna secara meluas dalam perubatan tradisional untuk rawatan pelbagai penyakit terutama yang berkait dengan ginjal atau buah pinggang. Bukan itu sahaja, daun misai kucing digunakan sebagai penawar bagi batu karang ginjal, diabetes, gout, penyakit saluran dan peredaran darah dan reumatisma.

Namun ramai antara kita tidak mengetahui bahawa daun misai kucing turut digunakan sebagai perencah dalam masakan termasuk nasi goreng, nasi kerabu dan ulam-ulaman.

Aroma daun misai kucing menjadi nilai tambah dalam masakan membuatkan sesetengahnya gemar menanam sendiri, disebabkan harganya agak mahal. Dipercayai daun misai kucing digunakan dalam pelbagai jenis masakan dan manisan kerana rasanya yang begitu unik.

Bagi Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Khdmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Prof. Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim, beliau menggunakan misai kucing dalam masakan sebagai penambah perisa daripada air rebusan misai kucing untuk memasak nasi bagi hidangan nasi ulam.  

Beliau yang juga pakar dalam bidang Makanan Warisan dan Budaya Malaysia berkata Nasi Ulam cukup sinonim di Malaysia dengan pelbagai jenis ulam-ulaman yang sihat serta dicampur sekali dengan warna yang menarik hasil daripada campuran ulam-ulaman tersebut.

"Nasi ulam disediakan menggunakan herba dan ulam-ulaman yang boleh ditemui di hutan dan kebun-kebun sendiri. Namun bagi membezakan nasi ulam itu, adalah mengikut negeri dan ulaman yang digunakan.

"Dengan menggunakan daun misai kucing di dalam nasi ulam, ia menjadikannya lebih enak dan unik kerana daun misai kucing ini tidak pahit dan dan rasanya seperti teh dan baik untuk diamalkan.   

"Orang ramai hanya mengamalkan air rebusan daun misai kucing. Tetapi tidak tahu bahawa daunnya boleh dimakan sebagai ulam begitu sahaja atau diletakkan dalam masakan,” katanya.

Tambahnya, pokok misai kucing adalah tumbuhan herba yang mempunyai banyak manfaat kepada semua. Seperti pengunaan dalam perubatan dan dalam masakan yang tidak diketahui oleh ramai.

"Pucuk dicita Ulam Mendatang”, begitulah ungkapan pepatah Melayu yang menunjukkan kepentingan pucuk dan ulam dalam kehidupan suatu masa dahulu,” katanya.

Biasanya ulam-ulam dicicah dengan sambal belacan, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi sebagai pembuka selera. Selain itu, ulam-ulam tradisional ini juga boleh dijadikan sebagai bahan dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu.

Memakan ulam-ulaman ialah suatu amalan yang baik kerana selain membuka selera, ulam-ulam mempunyai khasiat daripada segi pemakanan dan perubatan. Ini kerana, khasiat yang terkandung didalamnya dapat dikekalkan tanpa mengalami kehilangan zat disebabkan oleh proses memasak yang dikenakan haba.

Jika selama ini, ulam hanya sinonim dengan penduduk di luar bandar, namun senario ini telah berubah kerana ulam juga telah menjadi santapan biasa bagi warga di bandar dan juga semakin mendapat tempat di hati masyarakat antarabangsa. - UPM

WXEUKA4~