| Universiti Putra Malaysia

Datuk Dr. Nicol Ann David suntik semangat atlet skuasy UPM

Oleh: Muhamad Zamri & Ain Yumni

SERDANG, 27 Mac – Kelab Skuasy dengan kerjasama Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Program Perlawanan Akhir dan Perasmian Penutupan bagi Kejohanan Sirkit Skuasy Tertutup UPM 2022.

Kejohanan Sirkit Skuasy Tertutup UPM 2022 itu adalah pertandingan skuasy bersiri yang telah berlangsung sebanyak tiga sirkit.

Sirkit I telah berlangsung pada 9 Januari 2022, Sirkit II pada 23 Januari 2022 dan Sirkit III pada 27 Mac 2022 yang merupakan acara kemuncak iaitu Perlawanan Akhir dan Perasmian Penutup bagi kejohanan tersebut. Kejohanan ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu Divisyen 1,2 dan 3.

Perlawanan Akhir dan Perasmian Penutup bagi kejohanan ini telah dihadiri sebanyak 70 orang yang terdiri daripada para atlet, staf akademi sukan dan pelajar UPM sendiri.

Kejohanan itu dirasmikan oleh ratu skuasy negara, Datuk Dr. Nicol Ann David yang juga merupakan Founder and Head Coach Nicol David Organisation. Turut hadir, Pengarah Akademi Sukan UPM iaitu Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman dan penasihat bagi Kelab Skuasy UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen.

Datuk Dr. Nicol Ann meluahkan rasa bangga beliau terhadap Kelab Kelab Skuasy UPM di atas kejayaan mengadakan kejohanan skuasy yang begitu hebat.

“Saya berasa bangga kerana kesemua peserta dan penonton yang hadir pada program ini menunjukkan minat terhadap sukan skuasy dan saya percaya dengan adanya kejohanan seperti ini masyarakat di luar sana akan lebih mengenali dan tertarik dengan sukan skuasy,” katanya.

Presiden Kelab Skuasy UPM, Muhammad Fauzi Md Hairi berkata kejohanan itu adalah satu inisiatif kepada para atlet sebagai platform untuk bermain secara kompetitif dan juga memberikan pengalaman kepada atlet skuasy UPM dalam kejohanan.

“Kejohanan ini sangat penting bagi memastikan para atlet UPM bersedia untuk kejohanan yang akan datang dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Sesi interaksi antara Datuk Dr. Nicol Ann dan semua peserta menjadikan program itu istimewa kerana mereka dapat mendengar secara terus perkongsian, pengalaman serta nasihat yang memberikan semangat kepada atlet-atlet untuk berusaha dengan lebih gigih dalam sukan skuasy

Atlet kebangsaan yang telah menjadi johan bagi Divisyen 1, Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif yang juga telah dinobatkan sebagai Best Player of The Tournament meluahkan rasa kegembiraan kerana bukan sahaja memenangi kejohanan tersebut malah merasa begitu gembira kerana perlawanannya telah disaksikan oleh idolanya dalam sukan skuasy.

“Saya berasa gembira atas kehadiran Datuk Dr. Nicol Ann David yang menyaksikan perlawanan akhir dan saya juga sentiasa mengikuti perkembangan beliau sejak dari kecil serta selalu menyaksikan perlawanan beliau bersama-sama keluarga,” katanya.

Pemain skuasy baharu, Muhammad Amir Zakwan Mohd Zailani merupakan pemain termuda kejohanan yang menunjukkan persembahan dan peningkatan yang luar biasa sepanjang kejohanan ini berlangsung dan dinobatkan untuk anugerah Rookie of The Tournament yang sudah pasti menjadikannya lebih bersemangat dan gigih dalam sukan skuasy.

“Saya tidak menyangka akan dinobatkan anugerah ini dan ia adalah satu titik permulaan bagi diri saya untuk lebih gigih berusaha dalam sukan skuasy serta dapat menarik minat rakan-rakan lain untuk menceburi sukan skuasy,” katanya. – UPM

SXEZRA~