| Universiti Putra Malaysia

Cousberry juara pertandingan Hari Inovasi Menu Pelajar 2018

Oleh Faiz Hamzah

 

SERDANG, 5 Dis - Kumpulan Cousberry Sdn. Bhd. yang terdiri daripada pelajar Bacelor Sains dan Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara pertandingan Hari Inovasi Menu Pelajar 2018 dengan produk Couscous Nasi Lemak.

 

Kumpulan itu memperoleh hamper dan wang tunai RM500.

Ketua kumpulan, Ahmad Fadhlan Ahmad Fauzi berkata konsep yang di ketengahkan melalui makanan itu ialah makanan sihat yang selari dengan arus zaman, dan menu yang sedap.

“Kita sedia maklum, tidak dikatakan orang Malaysialah sekiranya kita tidak menggemari nasi lemak, namun masyarakat sekarang amat mudah diserang dengan pelbagai penyakit.

“Oleh itu, pemilihan makanan sihat perlu diperkenalkan dalam pasaran, bagi membantu kita bersama-sama menjadi sihat terutamanya dalam pemilihan makanan,” katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu berhasrat mengetengahkan Couscous kepada masyarakat Malaysia kerana pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya seperti ejen anti oksidan dan anti kanser, manakala cara penyediaannya sangat mudah dan kandungan nutrient di dalamnya masih dapat dikekalkan.

Katanya, idea Couscous Nasi Lemak dicetuskan oleh pensyarah Dr Hazrina Ghazali dan Dr Nurul Hanisah Juhari, manakala staf L’apprenti  dan  rakan-rakan sekelas  turut memberi idea dalam melengkapkan penghasilan Couscous Nasi Lemak.

Ahmad Fadhlan berkata mereka bercadang berkolaborasi dengan L’apprenti UPM untuk menjadi ejen utama dalam mengeluarkan Couscous Nasi Lemak di UPM bagi menaikkan lagi nama L’apprenti sebagai salah satu produk UPM yang boleh dibanggakan oleh warganya.

Ahli lain kumpulan itu ialah Erra Nastasha Paudzi, Rozaidah Mohd Amin, Siti Sarah Mustafar dan Syakirah Abdul Aziz

Sementara itu, antara produk inovasi menu makanan baharu yang berjaya dihasilkan pada pertandingan itu ialah Spinach Burrito, Homemade Golden Jackiee Sandwich, Mashed Potato Cheesy Chicken Roll, Vegan Filet Mignon with Werewolf Sauce, Black Sesame Fettuccine served with Fermented Durian Sauce, Khaw Pie Chicken Rendang, dan Traditional Handrolled Keramaki. - UPM

SXDcSA~