| Universiti Putra Malaysia

CEM UPM tuai 100 kg hasil pertama cili kulai

SERDANG – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menuai hasil pertama sebanyak 100 kilogram melalui projek penanaman cili kulai secara fertigasi di bawah Program Structured Entrepreneurship Incubator Programme (SEIP).

Pengarah, CEM, UPM Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali berkata, melalui projek inkubator itu peserta bukan sahaja didedahkan dengan ilmu keusahawanan malah akan mendaftarkan syarikat perniagaan sendiri untuk akhirnya menjadi usahawan dengan menjual hasil pertanian.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyalurkan dana RM10,000 untuk keperluan program ini, manakala Institut Biosains (IBS) UPM bermurah hati menjadi rakan kerjasama dengan membenarkan guna tanah milik mereka sebagai tapak penanaman,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (HEPA), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, cadangan menggunakan sistem fertigasi untuk projek itu adalah sangat bertepatan kerana UPM menggalakkan para pelajar menggunakan teknologi pertanian untuk projek-projek pertanian seiring dengan aliran semasa.

“Sistem fertigasi dapat memudahkan operasi ladang daripada segi pembajaan dan siraman. Oleh kerana sistem fertigasi ini dikawal secara automatik, maka peserta dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa mengabaikan komitmen 100% terhadap projek ini,” katanya.

Enam peserta terlibat dalam menjayakan program itu untuk membentuk pelajar yang mampu berdaya saing dalam perniagaan berasaskan pertanian.

Ketua projek, Mohammad Arif Ramly berkata, di dalam program itu beliau diberi kepercayaan oleh CEM untuk menjadi ketua projek bersama lima ahli kumpulan yang dianggotai oleh Nurazeyana Md Othman, Chrissha Webster, Muhammad Amir Hakimi Adnan, Mior Muhammad Tahfiz Abdul Raof dan Thiery Maldini Maidin.

“Kami berjaya menyemai sebanyak 1,000 anak pokok cili dari benih Sakata 461 atau nama komersialnya cili Kulai di Plot Penyelidikan Konservatori, IBS UPM,” katanya.

Beliau yang juga pelajar Bacelor Sains Pertanian telah mengaplikasikan semua ilmu yang diperolehi semasa di dalam pengajian untuk projek cili itu.

”Projek penanaman cili secara fertigasi ini dimulakan pada April 2021. Pemilihan cili sebagai komoditi projek adalah sesuai dengan pasaran semasa yakni hanya 30% pengeluaran cili dalam negara dapat menampung keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, cili jenis Sakata 461 menjadi pilihan kerana mempunyai permintaan yang tinggi dan sedikit rintang terhadap penyakit serta serangan serangga, dan mensasarkan  pengeluaran 1,000 kilogram sehingga akhir Ogos 2021.

Program SEIP dianjurkan oleh CEM dengan kerjasama KPT dan IBS. - UPM

WXEQOA~