| Universiti Putra Malaysia

Capai kejayaan serentak dalam pelajaran dan pekerjaan

Oleh Auliyaa Putri Ulfana

SERDANG, 7 Nov – Segala penat lelah belajar, dan pada masa yang sama turut  mengusahakan perkhidmatan spa bergerak (mobile spa) untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung pembiayaan pengajian, membuahkan hasil buat graduan Iyla Mohd Nor apabila berjaya dalam kedua-duanya.

Ilya, 27, menerima Ijazah Bacelor Sains (Pembangunan Manusia) pada Majlis Kovokesyen ke-41 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Beliau telah mengusahakan perkhidmatan spa bergerak pada 2012 tetapi mengambil keputusan tidak meneruskan kerja itu sebaik mendapat tawaran menyambung pengajian ke UPM pada 2013 kerana mahu fokus kepada pelajaran.

“Bagaimanapun pada 2014, saya merasakan perlu untuk mengusahakan semula secara sambilan perkhidmatan spa bergerak yang saya namakan Eisswellness Mobile Spa untuk menampung kos pengajian,” katanya.

Melalui perkhidmatan itu, katanya, pelanggan boleh mendapatkan rawatan spa dan fisioterapi di rumah masing-masing hanya dengan memohon perkhidmatan itu melalui Whatsapp, mesej atau panggilan telefon.

“Ini membuatkan saya perlu membahagikan masa dan belajar lebih tekun agar tidak tercicir dalam pelajaran. Alhamdulillah, hari ini saya berjaya menggenggam ijazah dan dapat meneruskan kerja itu,” katanya.

Beliau kini turut mengusahakan perniagaan yang diberi nama Green Bridal yang menawarkan perkhidmatan dekorasi perkahwinan dan pengantin berserta pakej spa di Sri Kembangan, bersama rakan kongsinya. – UPM

WXEYHAu~