Cabaran COVID-19 Tidak Bataskan Pelajar UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Cabaran COVID-19 tidak bataskan pelajar UPM

Cabaran COVID-19 tidak bataskan pelajar UPM

Oleh: Najwa Harun dan Nurul Aini Abdul Razab

 

SERDANG, 20 Nov – Pandemik COVID-19 tidak mematahkan semangat pelajar Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan program Connecting KTDI UPM-Kolej Cempaka Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang dilakukan secara atas talian.

Pengarah program, Radhi Amir berkata, program tiga hari itu bertujuan memperkukuh hubungan serumpun UPM-UNIMAS dengan menggalakkan pertukaran idea di peringkat kebangsaan melalui pendekatan norma baharu.

“Meskipun kaedah pelaksanaan program ini sudah berubah, ia masih boleh mencapai matlamat asal iaitu memperkasa penonjolan elemen sosiobudaya antara pelajar KTDI dan Kolej Cempaka, UNIMAS yang membawa kepada pencambahan idea dalam diri pelajar,” katanya.

 

Program Connecting KTDI UPM – Kolej Cempaka UNIMAS turut disertai Timbalan Naib Canselor (HEPA), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu; Timbalan Naib Canselor (HEPA), UNIMAS, Prof. Dr.  Kamarudin Kana; Pengetua Kolej Cempaka, UNIMAS, Mohd Hafizan Hashim; Pengerusi Jemaah Pengetua, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, mantan Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, Prof. Dr. Sidek Abd Aziz; barisan felo dari UPM dan UNIMAS, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail, dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej, Kolej Cempaka.

Prof. Dr. Arifin dalam penerangannya telah menekankan enam aspek yang perlu diambil berat iaitu pertanian, pendigitalan, keusahawanan, semangat nasionalis dan pengantarabangsaan.

“Pelaksanaan program peringkat antarabangsa seperti ini mampu mengangkat pelajar untuk menjadi tokoh siswa-siswi pada masa akan datang,” katanya.

Prof. Dr. Kamarudin pula berharap agar program seperti itu dapat dikembangkan lagi kerana bakat kepemimpinan pelajar dapat terus diasah dan digilap untuk menjadi lebih baik.

“Pemimpin pelajar di peringkat kolej diberi tanggungjawab besar untuk memastikan kepemimpinan mereka tetap diasah dalam masa pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Sementra itu sesi ‘Life on Land: Let’s Plogging’ memfokuskan kepada perkongsian ilmu mengenai semangat kesukarelawanan dan hubungan luar dari panel jemputan Pegawai Psikologi, Hospital Pengajar UPM (HPUPM), Rafidah Sadarudin  berjaya melibatkan seramai 445 peserta melalui Zoom.

Rafidah berkata aktiviti plogging adalah penting kerana ia dapat memelihara alam sekitar daripada timbunan sampah sarap yang berpunca daripada kelalaian manusia.

 

“Kita tidak perlu malu untuk melakukan perkara ini malah ia akan memberikan kesedaran terhadap masyarakat bahawa menjaga kelestarian alam sekitar adalah tugas bersama,” katanya. - UPM

 

 

Tarikh Input: 15/12/2020 | Kemaskini: 15/12/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJSOAn:14:59