| Universiti Putra Malaysia

Bulan Keusahawanan Siswa terap budaya usahawan pelajar

Oleh Noraida Ahmad Zaimi 

Foto Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 7 Okt – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Keusahawanan Siswa 2019 bagi menerapkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ia dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Dato’ Kamel Mohamad mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Teo dalam teks ucapannya yang dibacakan Dato’ Kamel berkata, program itu bertujuan menerapkan nilai keusahawanan untuk menganjakkan minda pelajar IPT daripada pencari pekerjaan (job seeker) kepada penjana pekerjaan (job creator).

“Proses latihan yang diperoleh sepanjang pelajar berada di IPT berupaya untuk melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan yang inovatif serta mampu meningkatkan kompetensi mereka mendepani cabaran sebagai seorang usahawan di peringkat global,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pula berkata generasi kini perlu memiliki kemahiran tambahan sebagai ilmu yang boleh diaplikasikan bersama-sama kemahiran yang mereka peroleh menerusi pengajian di universiti.

“Mereka perlu lebih kreatif untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari serta menambah ilmu dalam bidang bersesuaian untuk lebih berdaya saing dalam pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan pelbagai ilmu serta kepakaran teknikal yang relevan dapat meningkatkan nilai tambah dalam diri pelajar, antaranya ilmu keusahawanan.

Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Muhammad Anfal Zainudin, berkata pelajar UPM digalakkan berkecimpung dalam bidang keusahawanan siswa kerana mereka yang mempunyai platform komuniti usahawan bukan sahaja boleh menjana pendapatan malah dapat berkongsi pengalaman serta mengetahui teknik dalam perniagaan dan mengenalpasti kesilapan yang dilakukan oleh usahawan lain.

“Banyak yang saya pelajari di dalam keusahawanan antaranya mengenai keyakinan diri dan dapat menguasai pelbagai skil yang lain seperti pitching, penampilan pakaian dan kepimpinan,” katanya yang merupakan usahawan produk makanan Rojak King MarBehLoz. Beliau mendisiplinkan diri dalam perniagaan serta mewujudkan rangkaian (networking) dalam perniagaan bagi membantu antara satu sama lain.

Rakannya, pelajar Bacelor Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM, Nazrul Irfanradi Nazarulanuar berkata keusahawanan siswa adalah satu platform yang proaktif yang memberi peluang dan ruang kepada seseorang terutamanya pelajar untuk meneroka potensi diri dalam aspek kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan dan pengurusan organisasi.

“Saya berharap semua pihak bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran golongan pelajar terhadap bidang keusahawanan. Bidang ini boleh diguna pakai bukan sahaja bagi mereka yang ingin menjadi usahawan, malah untuk mereka yang bercita-cita menceburi bidang profesional,” katanya. - UPM

 

 

WXDdRA6~