| Universiti Putra Malaysia

BioChallenge 5.0 kaedah baharu penerokaan ilmu biologi

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Anna Karrenina Suryanadi, Aishah Perkins, Nawwar Syazana Ariffin, Muhammad Syamim Jairi

SERDANG – Seramai 641 mahasiswa daripada pelbagai Institut Pengajian Tinggi  (IPT) Awam/Swasta, termasuk daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program ‘BioChallenge 4.0 2021’ anjuran Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM.

Penyertaan pelajar itu lebih tinggi berbanding program “BioChallenge 4.0 2021” kerana dua aktiviti baharu - “BioPOETRY” dan “BioCOMICS” - diperkenalkan, selain aktiviti “BioTALK”, “BioINFOGRAPHIC”, “BioINNOVATE”, “BioESSAY”, “BioPHOTO” dan “BioVIDEO”.

Program dari 10 hingga 16 Januari 2022 itu bertemakan ‘Dive Into Biology With New Excitement’. Ia diadakan melalui kaedah baharu secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial, bertujuan menambah ilmu pengetahuan bidang biologi peserta.

Antara institusi pengajian yang terlibat adalah Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaya, SMK Raja Perempuan Ipoh Perak, SMK Bukit Sentosa, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Matrikulasi Perak, Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Matrikulasi Kedah, Kolej Genius Insan, Kolej Genius Pintar Negara, dan Kolej Sultan Alam Shah.

Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, program itu bertujuan menggalakkan pelajar meneroka ilmu biologi dengan kaedah yang lebih menarik dan efektif, bersesuaian dengan norma baharu.

“Program ini membuktikan bahawa teknik pembelajaran tidak hanya bergantung kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) bersemuka di dalam kelas sebaliknya memanfaatkan penggunaan teknologi sedia ada untuk penerokaan ilmu dengan kaedah yang baharu dan lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata, program itu mampu menggalakkan pelajar untuk mengasah minda supaya berfikir di luar kotak dan menerapkan sifat ingin tahu dalam diri mereka.

“BioChallenge 5.0 2022” adalah antara inisiatif UPM khususnya Jabatan Biologi ke arah melahirkan mahasiswa yang berkebolehan, bertanggungjawab, berpengetahuan luas, berfikiran kritis serta kompetitif di masa hadapan,” katanya.

Pengarah program, Anna Karrenina Suryanadi berharap program itu dapat menambah pengetahuan serta membuka ruang untuk mengetengahkan bakat pelajar dalam pelbagai bidang seperti fotografi, videografi, penulisan, seni lukisan, pengucapan dan inovasi.

“Ini membuktikan bahawa sains bukan suatu bidang yang hanya boleh dipelajari dan didalami oleh pelajar aliran Sains sahaja kerana kita sebagai manusia adalah sebahagian daripada Sains,” katanya.

Walaupun terikat dengan pandemik COVID-19, pelajar berpeluang mendalami ilmu sains biologi yang secara tidak langsung dapat meningkatkan daya kreativiti dan inovasi serta berfikiran kritis dalam menyelesaikan cabaran bagi setiap pertandingan yang disertai.

Program itu mendapat tajaan serta sokongan daripada Fakulti Sains, UPM, dan KMB dengan jumlah dana RM1,623 berjaya dikumpul, serta sumbangan dalam bentuk barangan daripada Argania, produk perniagaan tempatan yang berasaskan penjagaan kulit wajah. - UPM

WXFYPA2~