Biochallenge 4.0 Peluang Pelajar Ekspresi Biologi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Biochallenge 4.0 peluang pelajar ekspresi biologi

Biochallenge 4.0 peluang pelajar ekspresi biologi

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir dan Muhammad Firdaus Zulkifli

 

SERDANG, 14 Jan – Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Biochallenge 4.0 2021 bertujuan memberi peluang kepada pelajar mengekspresikan biologi secara virtual dalam norma baharu ketika pandemik COVID-19.

Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata program itu dengan tema “Unleash Your Inner Biology in the New Norm”  memerlukan pelajar memikir secara lebih kritis serta menyerlahkan pengetahuan, bakat serta kemahiran dalam bidang biologi ketika berada di dalam kekangan krisis global sekarang serta menormalisasikan norma baharu.

Katanya, penganjuran kali keempat itu mendapat sambutan amat memberangsangkan dengan peningkatan penyertaan peserta berbanding tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata pada tahun ini pihaknya membuat kelainan dengan tidak mengehadkan penyertaan untuk pelajar UPM sahaja, sebaliknya membuka peluang kepada semua pelajar pra-siswazah dari institusi pengajian awam dan swasta lain serta matrikulasi untuk turut melibatkan diri.

Program empat hari itu dianjurkan Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM. Ia dijalankan secara dalam talian sepenuhnya dan berjaya menghimpunkan pelajar secara virtual daripada pelbagai latar belakang institusi pengajian dengan penyertaan dua kali ganda daripada program BioChallenge 3.0 pada tahun lalu.

 

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah “BioTALK”, “BioINFOGRAPHIC”, “BioVIDEO”, “BioINNOVATE”, “BioESSAY” dan “BioPHOTO”.

BioChallenge 4.0 2021 adalah inisiatif UPM khususnya Jabatan Biologi dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkebolehan, bertanggungjawab, berpengetahuan luas serta mampu berdaya saing di masa hadapan.

Pensyarah Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM, Dr. Bokhary Zainal yang juga penasihat program itu, berkata minda pelajar perlu diasah untuk berfikir di luar kotak dalam mencari solusi untuk pelbagai masalah berkaitan ilmu biologi di samping menerapkan sifat ingin tahu yang perlu wujud dalam diri seorang bakal saintis.

Program itu mendapat tajaan serta sokongan daripada Fakulti Sains, UPM, Kelab Mahasiswa Biologi (KMB) dan syarikat seperti Techouz dan MYC dengan jumlah dana yang dikumpul sebanyak RM1,000. Selain tajaan dalam bentuk kewangan, program turut mendapat sumbangan dalam bentuk barangan daripada MYC.

Pengarah program, Nor Izwan Hakimi Nor Azmi berharap program itu dapat mencipta peluang bagi pelajar untuk meminati bidang biologi dan mengasah bakat serta kemahiran insaniah pelajar walaupun ketika pandemik, yang bukan alasan untuk mengetepikan ilmu.

 “Apa yang menarik, hasil-hasil tersebut diinspirasikan oleh mereka sendiri dan persekitaran sekeliling. Sains bukan suatu bidang yang hanya boleh dipelajari dan didalami oleh pelajar aliran Sains sahaja kerana kita sebagai manusia adalah sebahagian daripada Sains,” katanya.

Program itu berjaya menjadi platform bagi mahasiswa mendalami dunia sains biologi dan secara tidak langsung dapat mengasah daya kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan cabaran bagi setiap pertandingan yang disertai.

BioChallenge 4.0 2021 berjaya menarik minat penyertaan 474 pelajar daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Pahang,  Kolej Matrikulasi Kedah, dan Institut Pendidikan Guru. - UPM

 

Tarikh Input: 02/02/2021 | Kemaskini: 02/02/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWDA:03:41