Biji Kurma Jadi Serbuk Minuman | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Biji kurma jadi serbuk minuman

Biji kurma jadi serbuk minuman

Oleh: Nor Azizah Ismail

SERDANG, 7 Jan – Biji kurma yang lazimnya menjadi bahan buangan, sebenarnya dapat memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan manusia terutamanya bagi penggemar minuman yang mementingkan pengambilan pemakanan secara sihat.

Penyelidik Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Salwa Abd Ghani menghasilkan inovasi serbuk kopi daripada biji kurma, yang dapat meningkatkan potensi biji kurma sebagai minuman kopi alternatif dan memberi kebaikan kepada kesihatan.

Beliau berkata biji kurma yang telah dijadikan serbuk halus merupakan minuman kesihatan berpotensi tinggi.

“Serbuk yang dihasilkan ini adalah bersifat optimum dan larut di dalam air dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata idea itu dibangunkan berikutan terdapat peningkatan permintaan oleh pengguna moden yang mementingkan produk makanan dan minuman yang memberi manfaat kepada kesihatan dan diet sihat.

Inovasi itu juga mengaplikasikan konsep ‘sisa kepada kekayaan’ melalui penyediaan minuman biji kurma.  Lebih menarik, kos pembuatan serbuk kopi biji kurma adalah lebih rendah iaitu RM1.00/10g kerana bahan yang digunakan adalah 100% asli dan pengekstrakan dilakukan dengan menggunakan air, berbanding minuman kesihatan di pasaran yang lebih mahal kerana melalui banyak proses.

Daripada kajian yang dijalankan, beliau mendapati biji kurma mengandungi mineral, vitamin dan antioksida yang tinggi iaitu 10 kali ganda daripada isi buah kurma yang dapat menstabilkan tahap gula dalam darah, meningkatkan kepekaan insulin dan antibarah.

Ia juga tidak mempunyai asid dan kafein, dapat memberi faedah pulangan yang tinggi untuk kesihatan dan ekonomi, mengurangkan sisa persekitaran serta memberikan nilai tambah kepada industri pertanian kurma.

Formulasi penghasilan serbuk kopi ini adalah dengan menggunakan kaedah pembuatan mudah melalui rawatan haba dan ekstrak air.

Menurut beliau, pihaknya kini dalam usaha untuk berkolaborasi dengan sebuah syarikat pengeluar makanan yang berminat untuk mengkomersialkan inovasi itu.

Ahli kumpulan yang turut terlibat dalam inovasi itu ialah Prof. Madya Dr. Uswatun Hasanah Zaidan, Dr. Mohd Izuan Effendi Halmi dan Suzziyana Hosni.

Inovasi Kopi Biji Kurma itu memenangi pingat gangsa pada pameran International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2020. - UPM

Tarikh Input: 14/04/2021 | Kemaskini: 14/04/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJSQAs:16:41