| Universiti Putra Malaysia

Berkat jaga ibu ayah OKU sambil bekerja, gadis ini berjaya peroleh Master

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 19 Mac - Usaha adalah kunci kejayaan buat semua orang untuk berjaya di atas muka bumi ini demi mengubah nasib agar dapat berbakti semula kepada keluarga.

Graduan Master Komunikasi Korporat, Umaa Saraswathy A/P Kumarasamy , berkata, kehidupannya diuji sejak dari kecil lagi apabila kedua ibu bapanya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang perlu membesarkan empat orang anak dengan kekurangan yang dihadapi.

“Saya fikir pelajaran sahaja yang boleh mengubah hidup saya, kerana saya sedar kekurangan yang dialami oleh keluarga kami kerana ayah mempunyai masalah fizikal, hanya terbaring dan ibu mengalami masalah mental.

“Untuk menggengam segulung Master hari ini bukan mudah untuk saya kerana faktor pekerjaan dalam industri khidmat pelanggan yang terlalu sibuk.”

“Apa yang saya lakukan adalah satu kepuasan apabila berjaya memperoleh Master walaupun terpaksa menguruskan ayah dan ibu yang sakit. Kejayaan tak datang bergolek, perlu usaha serta kerja keras sahaja,” katanya.

Umaa menghadiri pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-45 hari ini seorang diri kerana ayahnya baru meninggal dunia dua bulan lepas.

Beliau berkata, walaupun ayah sudah tiada, tetapi kerja kerasnya ini untuk keluarga sahaja bagi melangsungkan hidup mereka.

“Anda juga boleh, keluarlah daripada zon selesa untuk mencapai apa yang diingini dalam hidup. Bukan mudah, usahalah dan jangan pernah mengalah,” katanya. - UPM

WXFTMAp~