| Universiti Putra Malaysia

Bengkel Kecerdasan Buatan tarik minat pelajar MRSM Bentong

BENTONG, 14 September – Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Bengkel Pengenalan Kecerdasan Buatan bertujuan untuk menarik minat pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong, Pahang kepada bidang kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).

Penyelaras Program, Prof. Madya Ts. Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef berkata, bengkel itu dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

“Bengkel yang disertai 177 pelajar tingkatan 3 itu dibimbing oleh fasilitator dari UPM bagi membangunkan aplikasi kecerdasan buatan dengan mudah,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk aktiviti taklimat, kuiz, hands-on pembangunan aplikasi dan sebagainya lagi.

Selain itu, bengkel tersebut turut dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM, Ts. Dr. Nurul Amelina Nasharuddindan dibantu oleh INSPEM, UPM iaitu Dr. Mohd Rohaizat Abdul Wahab, Zahratun Nur Yosminar dan Mohd Feziulnida Abdul Manan.

Respon yang baik berkenaan penganjuran bengkel itu diberikan oleh pelajar di mana mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program kecerdasan buatan dan membuatkan mereka ingin meneroka lebih banyak lagi dalam bidang itu.

Peserta program, Dayana Batrisya berkata beliau berpandangan AI adalah topik yang menarik.

“Sebelum ini saya tidak mengetahui tentang AI dan kini sangat berminat dengan AI dan saya berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang ini di UPM,” katanya.  

Sementara itu, melalui bengkel tersebut para peserta dapat memahami serta mendalami bidang kecerdasan buatan dan dapat membangunkan aplikasi sendiri.

Para peserta juga diberikan micro-credentials UPM iaitu pensijilan secara digital bagi mengiktiraf penguasaan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pelajar dalam kecerdasan buatan. – UPM

WXEaFAy~