| Universiti Putra Malaysia

BELAJAR DAN BEKERJA, TIDAK HALANG SUAMI ISTERI GENGGAM IJAZAH

Oleh Jerrywesly bin Senaja,
Pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan, SPE
 

SERDANG, 24 Mac - Belajar dan bekerja pada masa yang sama tidak menghalang pasangan suami isteri Dr. Bahunu a/l Appana, 35 dan Dr. Chandramalar a/p Kanthavelu, 36 untuk berjaya bergraduat dalam bidang masing-masing iaitu Master Perubatan (Radiologi) dan Master Kesihatan Awam pada sidang 6 Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45.

Menurut Dr. Bahunu, mereka suami isteri akan mula belajar, menyiapkan tesis dan tugasan selepas anak-anak tidur pada waktu malam. Tambah Dr. Chandramalar pula, mereka kadang-kadang tidur 3 hingga 4 jam sehari sahaja disebabkan bekerja sambil belajar bagi menamatkan pengajian sarjana masing-masing.

Dr. Chandramalar, berkata, cabaran terbesar yang ditempuhi beliau sepanjang pengajian adalah semasa pandemik COVID-19 kerana beliau terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil sambil menghadiri kuliah daripada jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Ketika ditemui, Dr. Bahunu berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Subspeciality in Radiology manakala Dr. Chandramalar pula dalam misi menamatkan pengajian Doktor Falsafah ‘on time’ yang dijadualkan pada tahun 2024.

Pasangan suami isteri itu juga berterima kasih kepada pihak pensyarah Universiti Putra Malaysia kerana membimbing mereka sepanjang pengajian mereka. Mereka juga berpesan kepada mahasiswa supaya meneruskan pencarian ilmu di Menara Ilmu (UPM) ini.

Dr. Bahunu kini bertugas sebagai radiologi di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah manakala Dr. Chandramalar pula bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – UPM

SXEUGA1~