| Universiti Putra Malaysia

Bapa, anak teruja terima ijazah hari yang sama

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 30 Okt -  Di sebalik kesukaran kerana terpaksa berulang alik dari Sabah ke Universiti Putra Malaysia (UPM) tiga atau empat kali setiap semester, seorang bapa Murhqah Mohd Neng berjaya menukil episod gembira apabila memperoleh ijazah bersama dengan anak perempuannya, hari ini.

 

Murhqah, 49, dari Sandakan memperoleh ijazah Master Pengajian Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama, manakala anaknya Nur Elyqah, 23, memperoleh Bacelor Sains (Pengurusan Perkhidmatan Makanan) pada Majlis Kovokesyen ke-42 UPM di sini.

 

Kedua-dua menyatakan mereka amat teruja dan sama sekali tidak menduga akan memperoleh ijazah pada hari yang sama, terutamnaya kerana mereka mengikuti program pengajian yang berbeza.

 

“Ini adalah detik indah kami dalam pendidikan sebagai ayah dan anak,” kata mereka.

 

Murhqah, guru Sekolah Kebangsaan Sungai Padas, Sandakan yang mengikuti Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) berkata pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam mengejar cita-cita dan yang paling mencabar ialah perlu berulang alik ke Semenanjung tiga atau empat kali setiap semester dari tempat tinggalnya di kawasan pedalaman.

 

“Saya juga perlu peruntukkan wang yang cukup untuk kos pengajian selama empat semester, termasuk kos tiket kapalterbang,” katanya.

 

“Saya tidak menduga langsung dapat berkumpul dengan Nur Elyqah… sama-sama hadir dalam majlis konvokesyen pada hari yang sama,” katanya.

 

Nur Elyqah, yang mengikuti pengajian sepenuh massa di UPM pula berkata, beliau bersyukur kerana bersama bapanya mereka masing-masing dapat meraikan kejayaan.

 

“Amat jarang bapa dan anak menerima ijazah pada hari dan majlis konvosyen yang sama,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

 

Sepanjang pengajian di UPM, katanya, beliau hanya pulang ke kampung halaman dua kali setahun.

 

“Pengorbanan itu berbaloi dengan ijazah yang diterima ini,” katanya yang mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. - UPM

 

WXEYAA3~