| Universiti Putra Malaysia

Atlet UPM Ahmad Luth bergraduat

Oleh: Putri Nabila Zulfakar

 

Serdang, 28 Okt - Walaupun tanggungjawab mengharumkan nama negara perlu digalas, namun kesibukan sebagai atlet tidak pernah menjadi penghalang kepada atlet olahraga negara, Ahmad Luth Hamizan, 26, apabila berjaya menamatkan pengajiannya dalam majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42 hari ini.

 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani) yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Universiti Asia sebanyak tiga kali berturut-turut itu berkata, beliau gembira dapat bergelar graduan setelah bertungkus lumus selama lima tahun membahagikan masa antara latihan harian dan juga kuliah di UPM.

 

“Selain bergelut dengan tugasan dan kelas, dalam masa yang sama membuat persiapan bagi menyertai kejohanan olahraga di pelbagai peringkat menyebabkan saya perlu bijak membahagikan masa,” katanya yang turut mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia dalam beberapa acara karnival sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Menurut beliau, sokongan dan dorongan daripada keluarga, pihak universiti, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuatkan beliau lebih bersemangat dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Pendidikan Sains Sukan

 

Mengulas tentang perancangannya dalam bidang olahraga, buat masa ini,  beliau mahu memberi tumpuan kepada Southeast Asian (SEA) Games yang akan diadakan di Filipina pada 30 November sehingga 1 Disember 2019. - UPM

WXEZVAb~