| Universiti Putra Malaysia

Anak yatim bekerja cari pendapatan keluarga peroleh ijazah bacelor

Oleh: Ngo Zhen Hong dan Law Kai Wei
Pelajar Bacelor Pengajian Pengguna, FEM 

SERDANG, 11 Jan – Kesukaran yang dilalui anak tunggal, Shanty Somahsundram, yang terpaksa bekerja untuk menyara ibunya selepas bapanya meninggal dunia, tidak mematahkan semangat untuk beliau mengejar cita-cita dan berjaya dalam pelajaran.

Shanty, 26, menerima Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Inggeris pada Majlis Konvokeysen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 di sini hari ini.

Beliau juga adalah Presiden Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM sesi 2018/2019, dan graduan Master TESL (Teaching of English as Second Language).

Selepas kematian bapanya, Shanty terpaksa melalui cara penghidupan baharu dengan mencari nafkah keluarga dengan bekerja sebagai pengajar di pusat tuisyen dan pekerja restoran.

“Saya perlu bangun pada pukul 6 pagi dan biasanya tidur pukul 2 pagi demi menampung masa kerja dengan tugasan kuliah,” katanya.  

Beliau berkata ibunya yang berusia 60 tahun juga berpesan kepadanya dengan kata-kata: “Kita mesti belajar berdikari, kita tidak boleh bergantung dan menyusahkan orang lain.”

Shanty juga berkata, situasi yang dilaluinya bukan satu halangan untuknya meneruskan pelajaran kerana “kehidupan sebagai mahasiswa sepatutnya mempunyai tekanan dan kekangan”.

“Saya berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) TESL dan berharap dapat berkhidmat sebagai pensyarah di UPM pada masa akan datang,” katanya.

Beliau pernah mewakili Malaysia menjalani mobiliti ke Afrika Selatan dan mewakili UPM sebagai penceramah dan moderator pada program itu.

Katanya, beliau masih ingat ucapan ‘Happy Birthday’ daripada bapanya kepada beliau pada hari ulang tahun kelahirannya dan sama sekali tidak menyangka ia adalah perkataan terakhir bapanya kepada beliau.- UPM

WXESTA~