| Universiti Putra Malaysia

Ambil upah potong rambut, tambah pendapatan ketika belajar

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar

BINTULU, 1 Nov - Membuat kerja sambilan ketika menyambung pengajian di menara ilmu bukanlah sesuatu yang asing dan sering dilakukan oleh penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi menambah duit poket masing-masing.

Begitulah yang dilakukan oleh Abdul Muiz Abd Rahman, 20 yang melakukan kerja sambilan mengambil upah memotong rambut ketika zaman belajarnya di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak (UPMKB).

Anak kedua daripada lima beradik itu yang berasal dari Kelantan mengambil keputusan melakukan perkerjaan itu pada semester keempat setelah kedua ibu bapanya berpisah.

"Saya perlu menambah pendapatan kerana apabila ibu dan ayah saya berpisah saya dan adik-adik tinggal bersama datuk di Bachok.

"Saya bersyukur kerana sambutan sangat menggalakkan dan pendapatan tersebut saya gunakan untuk menampung perbelanjaan saya di sini," katanya.

Beliau yang memperoleh Diploma Pertanian pada Majlis Konvokesyen di Dewan Sri Kenyalang UPMKB hari ini akan menggunting rambut pada waktu cuti dan waktu malam. -UPM

WXFVGAS~