| Universiti Putra Malaysia

Ambang Merdeka UPM 2022 disambut meriah

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 30 Ogos - Selepas dua tahun tidak dapat meraikan kemerdekaan secara beramai-ramai, dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali menggemakan laungan keramat Merdeka dengan penuh semangat patriotik bersama komuniti setempat dan warga kampus UPM.

Sambutan Ambang Merdeka ke-65 Patriotisme@PUTRA peringkat universiti diraikan dengan sangat meriah bagi menyatakan rasa cinta warga UPM kepada negara dan menzahirkan semangat patriotik yang ada dalam diri.

Laungan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!' sebanyak tujuh kali oleh Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman tepat pukul 12 tengah malam tadi disambut dengan penuh semangat oleh pengunjung setempat dan warga UPM yang memenuhi dataran PKKSSAAS UPM.

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata tanggal 31 Ogos adalah tarikh bersejarah yang perlu dihayati sepenuhnya oleh warga kampus dan pelajar bagi memupuk jati diri dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.

"Terima kasih kepada warga UPM dan semua pihak termasuk komuniti Sedang yang dapat menghadirkan diri ke sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-65 peringkat UPM malam tadi.

"Sesungguhnya ini adalah cerminan semangat dan kecintaan kita kepada negara yang berdaulat dan merdeka," katanya.

Beliau berkata kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, namun kemerdekaan adalah kebebasan daripada penjajahan minda serta memerdekakan diri daripada perkara yang sia-sia.

Sambutan Ambang Merdeka itu juga diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan bunga api, bual bicara patriotisme dan perpaduan serta bacaan ikrar Rukun Negara. -UPM

SXFPPAd~