| Universiti Putra Malaysia

Alumni UPM sumbang sarapan kepada pelajar peperiksaan akhir

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhamad Izrul Abdul Jabar 

SERDANG, 8 Februari- Cakna dan prihatin dengan kepentingan mengambil sarapan khasnya ketika musim peperiksaan akhir, Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) tampil memberi sumbangan sarapan pagi kepada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan akhir sesi akademik 2022/2023 di sini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata pemberian sarapan percuma ini adalah sumbangan daripada alumni UPM yang akan membantu pelajar mengalas perut mereka sebelum menduduki peperiksaan.

“Pemberian roti dan air mineral ini sekurang-kurangnya membantu pelajar daripada berlapar dan mengisi perut yang kosong agar dapat menduduki peperiksaan dengan baik. Semoga pelajar ini dapat menjawab peperiksaan dengan hati yang terang dan terima kasih alumni UPM,” katanya.

Inisiatif pengagihan sarapan menerusi Buggy Putrabiz@Alumni di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) ini juga selari dengan Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025, melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

Sementara itu, Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud berkata sumbangan ini juga hasil kerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM bermula 7.30 pagi.

“Kita juga mengedarkan makan malam percuma iaitu burger di kolej kediaman yang akan diberikan pada Majlis Perwakilan Kolej (MPK) dan mereka akan mengagihkan pada pelajar di blok masing-masing bermula semalam sehingga kertas akhir esok.

“Selain itu, inisiatif ini juga melihatkan fungsi Buggy Putrabiz@Alumni yang disumbangkan oleh alumni UPM yang memberi kebaikan pada pelajar.

“Diharapkan pelajar yang sedang menuntut ilmu ini apabila menjadi alumni kelak akan kembali berbakti pada UPM dan mengingati ketika peperiksaan dahulu ada alumni yang memberi sarapan dan ianya akan menjadi tradisi untuk terus menyumbang,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) berkata usaha murni seperti ini akan dirancakkan pada peperiksaan akhir yang akan datang.

Pelajar semester pertama, Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Kepujian, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Kamalaselvi Ramesh, 23 berkata pemberian sarapan ini membantu beliau untuk mengalas perut sebelum memasuki dewan peperiksaan.

“Apabila periksa awal pagi, saya perlu bergegas untuk menaiki bas jadi tidak sempat untuk membeli sarapan. Roti dan air mineral ini sudah cukup baik dan elak merasa terlalu lapar ditambah dengan tekanan menjawab peperiksaan," katanya. -UPM

WXEYPA~