| Universiti Putra Malaysia

Alif Akmal dipilih YDP MPP sesi 2019/2020

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 11 Mac – Pelajar Bacelor Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Alif Akmal Omar dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2019/2020.

Alif Akmal menerima simbolik penyerahan watikah pelantikan daripada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris, pada Majlis Watikah Pelantikan MPP UPM Sesi 2019/2020 di Dewan Taklimat Serdang, UPM, di sini. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman dan Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehawal Pelajar dan Alumni), UPM, Noorizai Mohamad Noor.

Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini dalam ucapannya berkata MPP adalah tulang belakang pengurusan Universiti dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan pelajar UPM.

Sehubungan itu, beliau berharap MPP akan memberikan yang terbaik demi kesejahteraan kampus.

“Pihak Pengurusan UPM sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan sahsiah dan rohani pelajar UPM,” katanya.

Beliau juga berkata, komunikasi adalah penting dalam menjamin keberkesanan pelaksanaan aktiviti dan program MPP kepada pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan ahli MPP sesi lalu yang telah menjalankan tanggungjawab yang memenuhi hasrat Universiti serta menjadi suara terbaik pelajar.

Seramai 45 pelajar ahli MPP yang juga barisan kepemimpinan baharu MPP UPM Sesi 2019/2020 melafazkan ikrar pada majlis itu.

Mereka termasuk Naib Yang Dipertua, Mohamad Arif Fikri Ali; Setiausaha Agung, Farah Izzati Abdul Rashid; dan Bendahari Kehormat, Akmal Hafiz Mohd Zaki.

Proses pemilihan MPP sesi 2019/2020 yang dilaksanakan pada 27 Feb lalu dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tanpa campur tangan pentadbir universiti. Pada tahun ini pemilihan dijalankan menggunakan kertas undi berbanding sistem aplikasi elektronik e-undi yang digunakan sejak enam tahun lalu. - UPM

SXEZMAK~