| Universiti Putra Malaysia

Aissvarya johan 3MT peringkat UPM 2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun

SERDANG, 18 April - Pelajar ijazah kedoktoran (PhD) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Aissvarya Shankar dinobatkan sebagai johan pertandingan Tesis Tiga minit (3MT) peringkat UPM 2023 di sini, hari ini.

Kemenangannya itu membolehkan beliau bersama pemenang di tempat kedua dan ketiga mewakili UPM ke peringkat kebangsaan.

"Saya masih terkejut dan tidak menyangka akan menjadi juara pertandingan ini. Saya akan membuat persediaan dan latihan bersama mentor melalui Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) UPM untuk pertandingan seterusnya mewakili UPM," katanya yang membawa pulang hadiah kemenangan RM 1,000.

Sementara itu, dua pelajar PhD Fakulti Sains UPM, Muhammad Safwan Zaini meraih tempat kedua manakala tempat ketiga di sandang oleh Nur izzah Md Nasir serta masing-masing membawa pulang RM800 dan RM600.

Pemenang anugerah penonton pilihan pula dirangkul oleh Asyrul Izhar Abu Bakar dan membawa pulang RM100.

3MT ialah pertandingan penyelidikan yang dibangunkan oleh Universiti Queensland (UQ) yang menguji keupayaan pelajar PhD untuk menerangkan kepentingan penyelidikan masing-masing kepada penonton di luar bidang dalam masa tiga minit. -UPM

SXEQPAb~