| Universiti Putra Malaysia

75 pelajar sertai Gerak Ilmu Mahasiswa Baharu BIOGEN

Oleh: Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir

 

PORT DICKSON, 22 Sept – Seramai 75 pelajar baharu Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Gerak Ilmu Mahasiswa Baharu BIOGEN19/23 di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (i-AQUAS), di sini.

Progam anjuran Jabatan Biologi dan Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), UPM itu adalah khusus untuk pelajar baharu Jabatan Biologi sesi 2019 atau BIOGEN 19/23.

Pengerusi program, Dr. Meenakshii Nallappan berharap program itu dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai alam pembelajaran dan cabaran yang bakal ditempuhi sebagai mahasiswa Biologi.

“Melalui program ini, BIOGEN 19/23 dapat mempersiapkan diri daripada segi fizikal dan mental, di samping menyuntik semangat bagi menempuh sesi pembelajaran selama empat tahun di Jabatan Biologi,” katanya.

Program tiga hari itu disertai 55 pelajar Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian dan 20 pelajar Bacelor Sains Dengan Pendidikan (Kepujian) Biologi. Dua pelajar antarabangsa dari China dan seorang dari Iraq turut menyertainya.

Program itu yang bertemakan “BIOGEN 19/23: Kenali Biologi, Kenali Kehidupan”  diisi dengan penerangan akademik dan kokurikulum serta aktiviti menarik bagi mencetus pemikiran kritis dan reflektif berkaitan akademik bagi mencapai kecemerlangan yang berterusan semasa pengajian.

Pelajar juga diberi pendedahan mengenai hala tuju bidang Biologi dan peluang pekerjaan semasa Sesi Bersama Alumni serta senior Jabatan Biologi.

Program itu dikendalikan Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), persatuan yang ditubuhkan bagi mewakili suara pelajar Jabatan Biologi, menjaga kebajikan dan memupuk semangat kekeluargaan pelajar. Ahli kelab terdiri daripada pelajar Tahun 1 sehingga Tahun 4 pelajar jabatan itu.

Penasihat KMB, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata penglibatan ahli KMB dan pensyarah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta dapat berkongsi pengalaman sepanjang belajar di Jabatan Biologi.

“Saya berharap dengan penglibatan pensyarah dan KMB, mahasiswa baharu berasa selesa dan sedar bahawa Jabatan Biologi sangat mengalu-alukan kehadiran mereka,” katanya.

Kemahiran insaniah yang dapat dipupuk melalui aktiviti. Ia termasuk semangat kerjasama dalam kumpulan, kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran berkomunikasi.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah ceramah pengenalan kepada Jabatan Biologi, Sesi Bersama Alumni Jabatan Biologi, serta perkongsian bersama pelajar tahun dua dan tiga yang mengikuti program mobiliti.

Ceramah motivasi Soulful Biology berbentuk tazkirah diadakan untuk pelajar Islam, manakala aktiviti berunsurkan etika dan moral bagi pelajar bukan Islam.

Program itu turut menekankan kecergasan fizikal dan kecerdasan mental melalui slot ‘Endgame’ yang berbentuk adventure yang menekankan kepentingan kerjasama dalam kumpulan kerana setiap kumpulan perlu melepasi halangan untuk menyelesaikan misi yang ditetapkan. 

Antara halangan itu ialah ‘Creating Lantern Together, Fear Factor dan  Lip Sync Battle’. - UPM

 

 

WXDcSAn~